Lizam Ridzuan


PERANAN pereka perindustrian tempatan begitu penting dalam menjadikan sesebuah produk itu bukan sahaja tampil cantik, malah mempunyai elemen praktikal dan komersial.

Kepakaran dan kemahiran mereka juga diperlukan untuk mengangkat sesuatu jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.

Tidak terkecuali dalam bidang automotif, elemen rekaan dengan ciri moden dan termaju kini menjadi ciri utama dalam penghasilan kenderaan masa hadapan.

Vroom minggu ini berkesempatan bertemu Ketua Rekabentuk Industri Mimos Berhad dan mantan pereka Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Saharudin Busri yang mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang rekaan automotif.

Saharudin berkongsi idea rekaan konsep kereta elektrik Malaysia (MEV) yang didedahkan pada Hari Reka Bentuk Perindustrian Sedunia (WIDD) berlangsung setiap tahun pada 29 Jun.

Untuk Malaysia, ia diadakan pada 3 dan 4 Julai lalu anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (Pereka).

Melihat kepada reka bentuk luaran, kereta ini belum diberi sebarang nama, namun dihasilkan daripada asas platform Volkswagen Golf iaitu 'hathcback' dalam segmen-B sebagai model untuk menghasilkan rekaan 3D terbabit.

"Saya melihat saiz segmen ini sesuai untuk pasaran Malaysia seperti Perodua Myvi yang menjadi kenderaan terlaris di negara ini.

"Idea bentuk bampar dan rekaan grilnya tampil berbeza daripada kereta enjin pembakaran bahan api (ICE) kerana untuk EV, ia hanya menggunakan motor elektrik," katanya.

Untuk itu, bentuk gril digantikan dengan garisan lampu nyalaan siang (DRL) yang seakan-akan bersepadu dengan lampu utama hadir dengan ciri futuristik.

Bampar dengan elemen gril hitam lebar juga menyerlahkan gaya bentuk sporty model ini dan pada bahagian tepi, ia dilengkapi lampu kabus.

KONSEP kereta elektrik Malaysia.
KONSEP kereta elektrik Malaysia.

MENGGUNAKAN perisian termaju.
MENGGUNAKAN perisian termaju.

LAKARAN manual.
LAKARAN manual.

Bingkai elemen hitam menambah bentuk tiga dimensi dari sudut pandangan hadapan.

Seterusnya, garisan pada bahagian 'wheel arch' terus ke pintu dan tiang C menjadikan ia tampil sporty.

Lebih-lebih lagi model ini dipadankan dengan rim aloi dua tona mengikut warna badan kenderaan bersaiz 18 inci.

Untuk ruang dalaman, sesuai dengan ciri EV, ia dilengkapi papan pemuka futuristik dengan hiasan krom, biru dan kelabu serta bentuk bulat pada corong dan butang penyaman udara, tuil gear selain pembesar suara.

Kemasan kabin pula mengikut warna luaran kereta. Ia menyerlahkan lagi gaya uniknya.

Meter pemandu digital penuh 'terapung' TFT serta roda stereng sentuhan klasik moden tiga jejari dengan padanan hitam piano, krom dan lingkaran balutan kulit melengkapkan lagi keunikan kereta EV ini.

Tempat duduk sport dengan sokongan sisi dan garisan jahitan menyerlahkan gaya futuristiknya.

Menurut Saharudin, meskipun hanya konsep, ia diharap menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan rekaan EV negara pada masa akan datang melalui pembabitan pihak tertentu dalam berkongsi kepakaran untuk merealisasikannya.

Katanya, ia juga dapat mewujudkan lebih ramai pereka untuk membantu negara dalam penghasilan produk berkaitan automotif yang lebih maju, inovatif dan berdaya saing dengan negara lain.

Sebelum memandang lebih jauh, lebih utama katanya, ialah kemahiran menggunakan teknologi perisian komputer.

"Ia menyumbang kepada banyak revolusi dalam menghasilkan rekaan industri automotif dunia.

"Proses menghasilkan rekaan MEV ini mengambil masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan bermula daripada proses lakaran dua dimensi (2D) sehingga menjadi tiga dimensi (3D) termasuk bahagian luaran dan dalamannya.

"Untuk menjadikan ia berbentuk 3D, saya gunakan perisian Autodesk AliasStudio yang kebanyakan digunakan pereka automotif di seluruh dunia," katanya.

ANTARA idea rekaan motosikal ‘cafe-racer’ yang dihasilkan.
ANTARA idea rekaan motosikal ‘cafe-racer’ yang dihasilkan.

 IDEA konsep ‘supercar’ Malaysia.
IDEA konsep ‘supercar’ Malaysia.

Tambahnya, beliau mengambil inisiatif sendiri sebagai tanggungjawab sosial kepada industri dengan menganjurkan kelas mempelajari perisian itu kepada penuntut dan pensyarah universiti di Malaysia.

Ia diadakan pada sebelah malam secara maya bagi membantu pereka mendalami dan mahir dengan kemahiran baharu itu tanpa bayaran.

"Perisian ini saya gunakan sejak bekerja di Proton, namun ia berubah mengikut peredaran masa dengan tambahan ciri-ciri dan aplikasi menjadikan visual kenderaan itu seakan-akan sudah wujud di dunia sebenar.

"Ia juga boleh digunakan secara realiti maya (VR) untuk mempersembahkan hasil rekaan kepada pelanggan di seluruh dunia.

"Ia banyak mengubah landskap pereka perindustrian ketika ini, bukan sekadar dalam negara, malah membolehkan pereka tempatan mengembangkan bakat ke seluruh dunia," katanya.

Antara rekaan Saharudin yang lain ialah motosikal, 'supercar' dan idea kereta sport Proton PM5 yang dijadikan model skala untuk Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga adalah pereka basikal bukit (MTB) Proton T-Bolt untuk keluaran tempatan sekitar 2001.

Karya dan perkongsian terkini Saharudin berkaitan dunia reka bentuk perindustrian dan automotif boleh disaksikan di Instagram dan YouTube: @saharudindesign.

INFO

  • Selepas tamat pengajian peringkat Sarjana Muda Seni Reka Perindustrian daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Saharudin Busri menyertai Proton pada 1994 dan berkhidmat di sana sehingga 2007.

  • Pada 1999, Saharudin memperoleh Sarjana Reka Bentuk Automotif, Universiti Coventry, United Kingdom (UK). Dia dihantar ke sana oleh Proton selain menimba pengalaman bersama Lotus.

  • Di Proton, antara model yang pernah mendapat sentuhannya ialah Wira, Tiara, Satria, Perdana V6, Waja, Arena, Gen-2, Savvy dan banyak lagi.

  • Di Mimos, beliau bertanggungjawab menghasilkan pelbagai rekaan termasuk peralatan elektrik, produk kraf, gajet dan lain-lain.

  • Beliau aktif dengan Persatuan Rekaan Industri Malaysia (Pereka) dan pernah menyandang jawatan naib presiden daripada 2012 hingga 2018.
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:52 AM