REKAAN konsep Geely Auto masa depan.
REKAAN konsep Geely Auto masa depan.
Lizam Ridzuan


SEBAGAI pengeluar kenderaan antara termaju di dunia, Geely Auto turut memperkenalkan konsep dan hala tuju rekaan bagi kenderaan keluaran mereka pada masa hadapan.

Memilih pendekatan menerusi falsafah rekaan 'Expanding Cosmos' yang menjangkau teknologi dan inovasi tanpa batasan, syarikat ini mengetengahkan ciri 'Vision Starburst'.

Naib Presiden Rekaan Geely Shanghai, Guy Burgoyne berkata, falsafah itu dipilih sebagai inspirasi buat pereka mengkaji dan mencari bahasa rekaan baharu yang holistik bagi memenuhi kepelbagaian kehendak pengguna yang semakin tinggi serta meluas.

"Ketika pencarian DNA itu, kami meneroka elemen dan teknologi tanpa meletakkan batasan atau had tertentu.

"Umpama kelahiran bintang baharu, semua idea pereka dari cawangan syarikat kami di seluruh dunia dikumpulkan, menyatu dan mencetuskan idea hala tuju rekaan yang baharu ini," katanya.

Untuk konsep rekaan Vision Starburst ini, ia dimulakan pada bahagian hadapan dengan gril dan corong kemasukan udara yang berlainan sepenuhnya daripada model sekarang.

Ia menampilkan corak parabola baharu unik yang digabungkan dengan rekaan pencahayaan umpama tenaga yang dilepaskan daripada bintang.

PINTU ‘scissor’ antara idea futuristik.
PINTU ‘scissor’ antara idea futuristik.

Konsep lampu hadapan unik menerusi idea pereka membayangkan masa hadapan dengan pancaran pengesan berteknologi tinggi.

Pada bahagian tengah, tepi dan bawah, ia memberikan aura tiga dimensi yang lebih bertenaga.

Seterusnya garisan luaran, panel pintu yang berkait dan bersepadu dengan gaya 'scissor door' mengetengahkan elemen futuristik.

Keseluruhan kerangka dengan garisan tajam umpama garis kosmos menyerlahkan konsep yang terlindung dengan baik.

Bahagian belakang direka dengan lampu yang merentasi, ekzos berkembar dan emblem Geely pada pintu but antara idea yang diterjemahkan kumpulan pereka.

RUANG kabin dengan teknologi termaju.
RUANG kabin dengan teknologi termaju.

Untuk ruang kabin, terutama pada panel pintu, ia direka bagi disesuaikan dengan karakter luaran yang disatukan dengan garisan cahaya 'pancaran kosmik'.

Pada konsol tengah, tuil gearnya berbentuk geometrik dan aerodinamik dengan empat garis cahaya bagi membezakan larasan indikasi gear.

Menerusi pencahayaan yang bersatu pada papan pemuka dan pintu, ia memberikan kesan tanpa sempadan ruang pintu dengan sistem multimedia di tengah.

Ciri Human Machine Interface (HMI) pada luaran dan dalamannya menyerlahkan lagi model kenderaan syarikat ini.

Sebagai hala tuju baharu, walaupun bukan semua elemen akan dimasukkan ke dalam rekaan, ia akan menjadi laras utama dalam penghasilan kenderaan Geely Auto pada masa akan datang.

Selain Geely Auto, antara jenama lain yang bernaung di bawah Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) ialah Lynk & Co, Volvo, Lotus, Proton, Polestar, LEVC, Zeekr, Geometry dan Smart.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:00 AM