PESERTA dari serata negara Asia yang menyertai pertandingan.
PESERTA dari serata negara Asia yang menyertai pertandingan.
Lizam Ridzuan


Buat julung kalinya pertandingan reka bentuk kereta 'Asian Compact Sedan Design Challenge 2023' (ACSDC 2023) diadakan baru-baru ini.

Pertandingan yang pertama kali diadakan di Malaysia itu menerima 93 penyertaan dari tujuh negara adalah anjuran bersama Perodua dan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, ia adalah pertandingan reka bentuk kereta sedan yang terbuka kepada pereka profesional dan pelajar rekaan di Asia.

"Jumlah penyertaan dari negara -negara lain Asia amat menggalakkan kerana pendedahan jenama Perodua dan MRM di luar Malaysia adalah terhad.

"Namun ACSDC 2023 berjaya menerima peserta dari Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, Jepun, India dan Malaysia," katanya.

Untuk kategori Profesional, Kenny Chan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan kereta rekaannya yang berkonsepkan 'Payung.'

Menurut ketua juri, Muhamad Zamuren Musa, reka bentuk kereta yang dinamik dengan bayangan ala 'fastback' dan karakter badan kenderaan yang kukuh serta stabil menjadikan kereta itu lebih seimbang. 

PERSEPSI sedan mengikut pandangan pereka.
PERSEPSI sedan mengikut pandangan pereka.

"Selain itu perincian ketara dan elemen gaya kreatif menjadi faktor lain yang membolehkan kereta itu dipilih sebagai yang terbaik dalam kalangan semua peserta," katanya.

Sementara itu, Philip Samuel Tandio dari Indonesia muncul sebagai naib juara dengan konsep 'Out Ride,' manakala Muhammad Izhar Che Shukarno berada di tempat yang ketiga dengan konsep 'Fastback.'

Bagi kategori pelajar rekaan Bryan Teh Yea Quan dari Universiti Asia Pasifik (APU), Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan tafsiran unik berkenaan sebuah sedan yang 'sporty.'

Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dinobatkan sebagai naib juara dan Muhammad Amin Othman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), pula berada di tempat yang ketiga.

"Bagi Perodua, pertandingan ini memberikan gambaran mengenai sedan kerana definisi dan persepsi kenderaan jenis itu adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain.

"Rakyat Malaysia melihatnya sebagai kenderaan yang praktikal manakala negara lain mungkin melihatnya lebih sebagai simbol status dan menerusi penganjuran pertandingan ini, kita dapat melihat di mana kita boleh menggabungkan kedua-dua idea itu menjadi satu," kata Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah MRM Husaini Ismail berkata, pertandingan itu bukan sahaja menggalakkan pereka untuk menguji bakat mereka.

"Pada masa sama turut mendedahkan mereka kepada falsafah reka bentuk yang berbeza dari negara lain di dunia," katanya.

JUARA kategori profesional.
JUARA kategori profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 7:00 AM