DUCATI Multistrada 1200 baharu.
DUCATI Multistrada 1200 baharu.
Oleh Erywan Norshal


Mencari motosikal berkonsepkan pengembaraan, Ducati Multistrada 1200 seharusnya perlu ada dalam pilihan berikutan memiliki ciri terbaik untuk menggalas tugasan berkenaan.

Menerusi model baharunya yang diperkenalkan oleh Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) baru-baru ini, ia diyakini memberi impak bagi menarik minat pengguna motosikal premium di negara ini.

Nampaknya, Ducati Multistrada baharu itu menawarkan kualiti tunggangan yang sporty, prestasi lancar dan penggunaan bahan api lebih rendah.

Sejak model berkenaan diperkenalkan lebih sedekad lalu, Ducati Multistrada 1200 baharu hadir ciri lebih mantap dengan menampilkan enjin terkini Ducati Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing).

Menariknya, enjin berkenaan adalah kali pertama dihasilkan dalam industri motosikal yang menggunakan sistem injap pemasaan boleh ubah dengan kawalan bebas pada aci sesondol pengambilan dan ekzos.

Sistem itu mampu mengoptimumkan prestasi enjin sepanjang julat kuasa, selain menjanjikan kuasa maksimum pada ‘rev’ ting­gi.

Rangkaian kuasa dengan piawaian Euro 4 itu turut mampu menyalurkan 160 kuasa kuda (hp) pada 9,500rpm yang dipadankan kotak gear enam kelajuan.

Motosikal dengan berat bersih yang mencecah 212 kilogram itu dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) untuk mengukur sudut posisi motosikal bagi memastikan prestasi serta ciri keselamatan berada pada tahap terbaik.

Pada masa sama, Ducati Multistrada 1200 didatang­kan sistem Ducati Wheelie Control (DWC) bagi memastikan kadar pecutan serta cengkaman

berse­suaian dengan keadaan penunggang.

Ia ditawarkan dua varian membabitkan Multi­strada 1200 ABS dan Multistrada 1200 S. Kedua-dua varian itu didatangkan dengan ciri kawalan jelajah elektronik yang membolehkan penunggang mengawal kelajuan pada suis pemegang bahagian kiri.

Menariknya, Multi­strada 1200 S dipadankan sistem Bluetooth yang boleh dihubungkan melalui telefon pintar, suspensi Skyhook dan lampu utama LED.

Harga bagi Ducati Multistrada 1200 ABS dijual pada RM119,999, manakala RM135,999 bagi Ducati Multistrada 1200 S atas jalan tidak termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 5:01 AM