CIRI rekaan sporty dan maskulin.
CIRI rekaan sporty dan maskulin.
Lizam Ridzuan

Jenama Volvo kini semakin ‘berani’ mengetengahkan rekaan lebih ‘muda’ bagi kenderaannya serta dilengkapi pelbagai teknologi dan ciri keselamatan terunggul di pasaran.

Jika rekaan Volvo dahulu membosankan golongan profesional, ia kini melalui platform Scalable Product Architecture (SPA) membuahkan hasil lebih ranggi melangkaui golongan sasar.

Antara model awal Volvo melalui peralihan reka bentuk lebih menarik ialah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) XC60 yang dilancarkan pada 2009, seterusnya menyumbang sehingga 30 peratus jualan global dengan hampir sejuta unit berjaya dipasarkan.

Sesuai perubahan teknologi semasa, ia kini digantikan dengan generasi kedua XC60 T8 Twin Engine serba baru yang dilancarkan awal tahun ini untuk pasaran tempatan dengan tiga varian ditawarkan iaitu XC60 T5, XC60 T8 Twin Engine Inscription dan XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus.

Penulis berpeluang memandu uji model Inscription Plus diimport sepenuhnya (CBU) yang disediakan Volvo Car Malaysia, yakni varian tertinggi untuk XC60 dengan ciri lebih premium.

Melihat pada rekaan luarannya, XC60 T8 hadir dengan elemen signatur yang terdapat pada model seperti XC90, V90 dan S90 yang mana ia turut dibina di atas platform SPA.

GAYA SUV terkini daripada Volvo.
GAYA SUV terkini daripada Volvo.

Saiznya juga kini dipertingkatkan iaitu lebih panjang 4.688 meter (m), lebar (1.999m), rendah (1.658m) daripada model terdahulu serta jarak roda ditambah menjadi 2.865m yang memberikan ruang kaki lebih selesa kepada penumpang.

Ciri luarannya didatangkan bersama lampu hadapan LED penuh dengan Lampu Penundukan Aktif (ABL) bagi pandangan lebih jelas untuk pemanduan dalam cuaca gelap serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk ‘tukul Thor’.

Bahagian bampar hadapan dengan gril Inscription dan kemasan luaran krom serta bar pada bumbung disekalikan dalam rekaan menyerlahkan eleman aktif dan sporty model ini.

BAHAGIAN belakang dengan pintu automatik.
BAHAGIAN belakang dengan pintu automatik.

Rim aloi bersaiz 19 inci 10 jejari potongan berlian, dua salur eksoz yang disekalikan, pemegang pintu dengan pencahayaan ke jalan antara elemen menjadikan ia tampil menyerlah.

Paling membezakan Inscription Plus berbanding varian lain ialah ruang dalamannya dan paling utama sistem bunyi premium jenama Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara untuk kualiti terbaik.

Papan pemuka berkualiti tinggi dengan gabungan kayu dan logam menambah sentuhan kemewahan serta tempat duduk bersadur kulit agar selesa sepanjang perjalanan yang dilengkapi fungsi larasan elektrik serta dipasangkan ciri pemanjangan kusyen mekanikal.

REKAAN ciri Scandinavia.
REKAAN ciri Scandinavia.

Tombol gear hablur oleh pembuat hablur terkemuka Sweden, Orrefors, butang larasan mod pemanduan dan bilah corong pendingin hawa direka dengan seni kehalusan tinggi gaya Scandinavia umpama ruang dalaman hotel lima bintang.

Sistem hiburan dilengkapi Ketersambungan Sensus bersaiz sembilan inci menegak termasuk Skrin Sesentuh Berwarna untuk memaparkan fungsi teknikal dalam kenderaan, kamera pandangan sekeliling 360 darjah, Sistem Kedudukan Global (GPS) dan keupayaan Bluetooth untuk diguna bersama telefon pintar.

KEMAS dan mewah.
KEMAS dan mewah.

Menambah pencahayaan semula jadi, ia juga dipasang bumbung panorama yang boleh dibuka dengan kuasa elektrik dan untuk suhu ruang dalaman selesa dilengkapi sistem pendingin hawa dwi-zon Kawalan Hawa Elektronik (ECC), Pra-Sejukan Kabin dengan Hawa Parkir dan corong udara untuk tempat duduk baris kedua.

Bukan itu sahaja, untuk fleksibeliti, tempat duduk penumpang boleh direbahkan untuk nisbah 60/40 dan dengan menekan butang di bahagian kargo, ia sangat memudahkan terutama bagi pengguna wanita.

Paling penting untuk generasi kedua XC60 T8 ialah nadi yang terletak di bawah bonetnya iaitu enjin berkembar 1,969cc Drive-E dengan pengecas turbo dan Supercharger bertaraf Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV).

BUMBUNG panorama.
BUMBUNG panorama.

Pemanduan Pacuan Semua Roda (AWD) bertenaga dengan 407 kuasa kuda (hp) dan 640Nm daya kilas lebih tinggi daripada kebanyakan SUV lain dan membolehkannya memecut sekitar 5.3 saat dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dan kelajuan maksimum mencecah 230 km/j.

Penulis dapat berasakan prestasi tanpa batasan dengan kotak gear lapan kelajuan Geartronic memastikan kelancaran terutama ketika memecut di lebuh raya tanpa kekurangan kuasa.

Ketika melintasi laluan tidak berturap, jentera kekal stabil dengan Casis Aktif dan Suspensi Udara (hanya untuk unit CBU).

KERUSI penumpang dengan keselesaan maksimum.
KERUSI penumpang dengan keselesaan maksimum.

Untuk mengecas juga didatangkan bersama sistem dan alat pengecas yang boleh digunakan di mana-mana lokasi mengecas seluruh negara dengan bateri berkuasa penuh boleh bergerak sejauh 53 kilometer dan akan bertukar secara automatik ke petrol sebaik habis digunakan.

Secara keseluruhan, model ini memiliki ciri elegan dengan rekaan maskulin, keselesaan optimum digandingkan dengan teknologi terkini dan sistem keselamatan terbaik.

Enjin yang sentiasa berprestasi mengikut keperluan dan pada masa sama menawarkan opsyen penjimatan menggunakan tenaga elektrik yang menjadikan ia seiring dengan permintaan pasaran masa kini.

DISERTAKAN pengecas keretaw.
DISERTAKAN pengecas keretaw.

Rekaan Inscription Plus dengan elemen krom serta sistem bunyi jenama mewah, Bowers & Wilkins menjanjikan kualiti seperti mendengar muzik di pentas opera.

Untuk yang mahukan kepuasan pemanduan, ditawarkan mod AWD, Pure, Hibrid, Power, Off-Road dan Individual boleh dipilih mengikut kesesuaian perjalanan.

Ciri keselamatan terbaik antaranya Pemanduan Gandar Belakang Elektrik (ERAD), Stereng Bantu Kuasa Elektrik (EPAS) dam Kawalan Kestabilan Elektronik (EBD) bagi kemantapan kestabilan kenderaan pada pelbagai kelajuan.

Bagi melindungi keseluruhan penumpang, ia dipasangkan dengan sistem IntelliSafe seperti Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantu Mengekalkan Laluan (LKA), Amaran Trafik Melintas (CTA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek Kecemasan (EBA), Bantu Brek Hidraulik (HBA), ISOFIX, beg udara hadapan serta Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS) dan banyak lagi menjadikan jenama ini sebagai yang terbaik dalam aspek keselamatan.

SISTEM bunyi berkualiti tinggi.
SISTEM bunyi berkualiti tinggi.

Untuk pasaran tempatan, XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus kini dengan pemasangan tempatan (CKD) didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Hitam Onyx, Kelabu Osmium, Putih Ice, Perak Bright dan Coklat Maple dijual pada harga bermula RM324,470 dengan lima tahun waranti pengeluar atau 120,000km, yang mana lebih dahulu.

VOLVO XC60 T8 TWIN ENGINE INSCRIPTION PLUS

• ENJIN: 1,969 cc 4 silinder pengecas turbo dan Supercharger PHEV

• KUASA MAKSIMUM: 407 (87 hp elektrik) pada 5,700 rpm

• TORK MAKSIMUM: 640 (240Nm elektrik) pada 2,200 Nm

• KAPASITI BAHAN API: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: IntelliSafe - Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantu Mengekalkan Laluan (LKA), Amaran Trafik Melintas (CTA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek Kecemasan (EBA), Bantu Brek Hidraulik (HBA), ISOFIX, beg udara dan SIPS.

• HARGA: RM324,470 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:50 AM