WARNA baru Pearl Red Passion untuk varian terbaru ini.
WARNA baru Pearl Red Passion untuk varian terbaru ini.
Mohd Razlan Salleh

Sambutan luar biasa diterima terhadap model kenderaan utility sukan (SUV) kompak popularnya, Honda Malaysia memperkenalkan HR-V RS serba baru dan membuka tempahan untuk yang berminat.

SUV kompak diperkenalkan pada 2015 membolehkan pengeluar kenderaan gergasi Jepun itu mengekalkan kedudukan nombor satu selama tiga tahun berturut-turut di pasaran tempatan apabila menyumbang 16 peratus daripada keseluruhan jualan.

Sehingga Jun lalu, HR-V terjual lebih daripada 72,000 unit berikutan permintaan pasaran yang tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan dan sokongan terhadap Honda.

ISHIYAMA bersama varian baru Honda HR-V RS yang bakal dilancar.
ISHIYAMA bersama varian baru Honda HR-V RS yang bakal dilancar.

“Kami menerima tempahan hebat ketika tempoh GST sifar pada Jun hingga tempoh menunggu meningkat antara tiga hingga empat bulan.

“Bagaimanapun, Honda Malaysia sentiasa bekerja keras menyerahkan kenderaan baru kepada semua pemilik secepat mungkin,” katanya.

Jelas Ishiyama, varian HR-V terbaru ini menawarkan penampilan lebih sporty dan antara kenderaan menawarkan pakej lengkap membabitkan ciri luaran, keselamatan dan gaya.

“HR-V RS bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan kenderaan didaftarkan sebelum 31 Oktober akan menerima Kad Petronas bernilai RM1,000,” katanya.

Terdahulu, HR-V RS dikuasakan enjin 1.8L SOHC i-VTEC digabungkan bersama Teknologi Dreams Earth Honda Transmission Variable Continuous (CVT) yang memberikan keseimbangan prestasi dan kecekapan bahan api.

Model terbaru ini hadir dengan reka bentuk luaran lebih segar termasuk singnatur Honda, konsep ‘Face Wing Solid’ selain padanan lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus serta lampu belakang LED.

LAMPU belakang lebih cerah dengan penggunaan LED.
LAMPU belakang lebih cerah dengan penggunaan LED.

Mempertingkatkan lagi kesesuaiannya, varian RS dilengkapi dengan rim 18 inci, reka bentuk bampar hadapan dan belakang lebih segar.

Ciri lain termasuk pemegang luar krom gelap, hiasan krom hitam dan pengenalan warna baru Pearl Red Passion bagi varian ini.

Selain itu, ciri keselamatan turut dipertingkatkan apabila varian RS didatangkan bersama sistem Honda LaneWatch melalui kamera pada cermin sisi penumpang manakala ciri standard lain termasuk enam beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA) serta Kamera Paparan Pelbagai Sudut untuk kemudahan pemandu.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi mana-mana 95 pengedar sah Honda untuk tempahan yang bermula 12 Julai lalu.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari laman sesawang www.honda.com.my

GRIL hadapan paduan warna krom dan gelap.
GRIL hadapan paduan warna krom dan gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:00 AM