RUANG dalaman kemas.
RUANG dalaman kemas.
ISMALZANI bersama jentera kesayangan.
ISMALZANI bersama jentera kesayangan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pengubahsuaian pelbagai komponen luaran dan dalaman kenderaan menurut jentera ala Pasaran Domestik Jepun (JDM) ternyata menenggelamkan rupa asal Perodua Kancil 660 tahun 1996.

Hasil pengubahsuaian secara total jentera tempatan itu menjadikannya seakan-akan model JDM Daihatsu Mira L5 Klasik.

Jelas berbaloi usaha keras pemilik jentera, Ismalzani Ismail, 38, menjadikan Perodua asal miliknya menyerupai model daripada negara matahari terbit itu. Paling ketara, sudut luaran atau kit badan menggunakan aksesori model L5 klasik.

Aksesori utama seperti bampar, ruang but, skirting, cermin sisi dan sebagainya ‘disalin’ terus sehingga bertukar wajah.

Begitu juga ruangan dalaman jentera termasuk kerusi, papan pemuka, meter kelajuan dan hiasan turut menampakkan legasi Mira L5 tulen.

Bahagian enjin pula menggunakan nadi L200S Turbo bersesaran 660cc tetapi transmisi automatik masih menjadi pilihan. Kuasa enjin diselaraskan dengan pemasangan ekzos berkembar FGK yang berupaya menambahkan sedikit kuasa pecutan.

Rupa jentera lebih terserlah dengan penggunaan rim JL berwarna krom yang memukau.

Menurut Ismalzani, Mira L5 Klasik memang menjadi jentera idamannya tetapi sukar untuk mendapatkannya di pasaran tempatan. Kerana itu, dia terpaksa membeli komponen jentera itu satu demi satu sebelum dipasang pada Perodua Kancil miliknya.

Akhirnya, lepas beberapa tahun mengumpul komponen berkenaan, Perodua Kancil miliknya bertukar wajah 100 peratus kepada Mira L5 Klasik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:55 AM