WINTER (kiri) bersama Ressel ketika majlis pelancaran jualan kenderaan Volkswagen di laman sesawang Lazada.
WINTER (kiri) bersama Ressel ketika majlis pelancaran jualan kenderaan Volkswagen di laman sesawang Lazada.
Mohd Razlan Salleh


Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan SEA Lazada Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menjalin kerjasama menawarkan 12 unit Volkswagen Beetle yang dijual secara dalam talian.

Kerjasama itu memberi peluang kepada orang ramai memiliki Volkswagen Beetle edisi terhad pada harga RM112,112 seunit.

Model eksklusif itu didatangkan dalam dua rekaan antaranya ‘Herbie 53’ berwarna putih atau perak serta ‘Hot Bug’ berwarna merah.

Pelanggan yang mahu memiliki Beetle berkenaan hanya perlu melayari platform Lazada dan membeli satu Welcome Kit pada harga RM5,000 yang juga yuran tempahan pra pembayaran.

Welcome Kit itu me­ngandungi satu rantai kunci Volkswagen dan kad Touch and Go bernilai RM100.

Sebaik saja pembelian dimuktamadkan, pelanggan akan dihubungi wakil Volkswagen bagi membolehkan mereka memilih pengedar, seterusnya menyelesaikan proses pembelian.

Bagaimanapun, semua unit edisi khas yang ditawarkan habis dijual dalam tempoh 20 minit sebaik diiklankan.

Pengarah Urusan VPCM Erik Winter berkata, pihaknya sangat gembira dengan kerjasama yang wujud bersama Lazada Malaysia selain kejayaan menjual 12 unit kenderaan dalam tempoh singkat.

“Tempoh 20 minit untuk menjual 12 unit kenderaan adalah terlalu singkat dan luar biasa.

“Jualan singkat ini juga membuktikan rakyat negara ini menggemari aktiviti beli-belah dalam talian,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini juga mencatat satu lagi pencapaian jenama Volks­wagen di negara ini.

“Kita kini hidup dalam era digital di mana bara­ngan dan perkhidmatan boleh diperoleh dalam talian, jadi kenapa tidak kereta?

“Pembelian kereta edisi terhad yang ikonik ini melalui platform e-Dagang adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan,” kata­nya ketika majlis pemancarannya.

Winter berkata, perkara itu menjadi satu sejarah dan berterima kasih kepada Lazada kerana sudi bekerjasama selain sokongan rakan pengedar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Hans-Peter Ressel berkata, pihaknya bang­ga dapat bekerjasama dengan Volkswagen dalam mening­katkan kewujudannya dalam talian, sekali gus memberikan pelanggan lebih kemudahan, pilihan dan nilai.

“Di Lazada Malaysia, kami sentiasa berusaha menawarkan perkhidmatan yang boleh memberi pengalaman kepada pelanggan dan akhirnya memenuhi keperluan rakyat dengan lebih baik.

“Kolaborasi ini adalah bukti pelanggan boleh membeli apa saja menerusi platform kami dengan kereta dijual secara dalam talian buat kali pertama di negara ini.

Terdahulu, Beetle edisi terhad hadir bersama stereng multi fungsi balutan kulit, skrin sentuh ‘Composition Colour’ bersaiz 5.8 inci dengan ciri USB, Bluetooth, lapan pembesar suara dan kemasan fabrik ‘Pepita’ pada tempat duduknya.

Model ini dikuasakan enjin TSI turbo bersesaran 1.2L dengan output 105PS bersama transmisi automatik tujuh kelajuan DSG.

Kuasa tork maksimum setinggi 175Nm menjanjikan pemanduan lebih mengujakan.

Sebagai nilai tambah, Beetle edisi terhad itu didatangkan dengan jaminan pengeluar dan bantuan selama lima tahun.

Orang ramai boleh melayari laman web www.volkswagen.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 9:37 AM