KERETA kompak untuk yang berkeluarga atau bujang.
KERETA kompak untuk yang berkeluarga atau bujang.
Mohd Razlan Salleh

Melihat pada bentuk luaran, tiada apa yang membezakan Honda Jazz Hybrid i-DCD dengan varian Jazz lain.

Selain menjadi kereta idaman ramai dengan reka bentuk sporty, keluasan optimum dan praktikal menjadi sebab utama untuk memilikinya.

Namun, keistimewaan sebenar Honda Jazz Hybrid terletak di bawah ruang simpanan belakang di mana letaknya ‘kuasa tambahan’ bateri Lithium-Ion selain sistem Hybrid Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD).

Model sport kompak hibrid ini dijana enjin 1.5L 16 Injap DOHC i-VTEC yang digabungkan bersama transmisi gear tujuh kelajuan Dual-Clutch Transmission (DCT) dan Integrated High-Power Motor.

Sistem ini adalah yang termaju dibangunkan di bawah Honda Earth Dreams Technology dan Malaysia menjadi negara kedua menikmatinya selepas Jepun.

Bateri Lithium-Ion memiliki 1.5 kali kapasiti kuasa dan 50 peratus lebih berkuasa walaupun saiznya lebih kompak berbanding sistem terdahulu iaitu Integrated Motor Assist (IMA).

Walaupun sistem hibrid membantu pemandu menjimatkan bahan api, Honda tidak pernah berkompromi apabila membabitkan kuasa enjin. Andai butang ‘S’ ditekan bagi mengaktifkan mod sport, kuasa disalurkan meningkat ke 137PS yang menyamai enjin bersesaran 1.8L.

Honda Jazz Hybrid i-DCD juga dilengkapi sistem Start-Stop yang membolehkan pendingin hawa kekal berfungsi ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat atau terhenti dalam kesesakan lalu lintas.

Ditawarkan pada harga mampu milik RM84,880 (tanpa insurans), ia tampil dengan tiga pilihan warna iaitu putih mutiara, perak dan kelabu.

Pembeli juga memperoleh waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, kos buruh percuma sebanyak enam kali dan waranti bateri hibrid tanpa had perbatuan selama lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:19 AM