MALAYSIA satu-satunya negara selain Jepun dilengkapi sistem i-DCD Honda.
MALAYSIA satu-satunya negara selain Jepun dilengkapi sistem i-DCD Honda.
Mohd Razlan Salleh

Selepas berjaya menambat hati pemandu tempatan dengan kehadiran Civic Hybrid dan Insight, kini Honda membawa masuk model Jazz Hybrid Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) yang sporty.

Model yang dilancarkan bersama Jazz Petrol Baru dilengkapi enjin 1.5L DOHC i-VTEC baru bersama Dual-Clutch Transmission (DCT) tujuh kelajuan dan Integrated High Power Motor yang menawarkan pecutan mengagumkan selain pengalaman pemanduan lebih sporty.

Sistem hibrid baru ini dikuasakan bateri Lithium-Ion yang memiliki 1.5 kali kapasiti kuasa dan 50 peratus lebih berkuasa walaupun saiznya lebih kompak berbanding sistem Integrated Motor Assist (IMA).

Jazz Sport Hybrid i-DCD menawarkan tujahan maksimum hasil gabungan enjin dan motor elektrik yang mencecah 137PS, bersamaan dengan enjin bersesaran 1.8L.

Stereng Kuasa Elektrik (EPS) dipertingkatkan untuk menjadikan jentera ini lebih responsif, sporty dan mengujakan.

Jazz Hybrid Baru memiliki fungsi dan posisi bebas untuk motor elektrik serta enjin. Ini membolehkannya menawarkan prestasi penjimatan bahan api terbaik dan pengalaman pemanduan lebih sporty dengan mengekalkan aspek janaan semula kuasa.

Model ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api 4.0L/100km dan boleh dipandu dalam mod kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

Berlainan dengan IMA, sistem pendingin udara Sport Hybrid i-DCD dipacu pemampat bermotor yang membolehkan suhu kabin dikekalkan ketika kenderaan berhenti seketika.

Sistem ditambah baik ini menjanjikan pemanduan lebih selesa untuk semua walaupun dalam kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, pihaknya sudah menguji dan memandu model berkenaan selama dua tahun dengan jarak melebihi 7,000km di negara ini bertujuan menguji sistem hibrid sebelum dilancarkan secara rasmi.

“Jazz Hybrid Baru ini diuji mengikut persekitaran berbeza seperti kesesakan trafik, laluan bengkang-bengkok dan berbukit curam.

“Ujian ini memboleh­kan kami menjadikannya lebih sempurna dan menawarkan Jazz Hybrid Baru yang sesuai dengan kondisi jalan raya serta gaya pemanduan rakyat Malaysia,” katanya.

Model hibrid ini ditawarkan dengan ciri Shift by Wire Gear untuk penukaran gear lebih lancar dan sporty.

Selain itu, paparan meter pelbagai info 3D Speed Meter Design memaparkan pelbagai maklumat antaranya aliran tenaga, meter sport, penjimatan bahan api, info pemanduan, pe­ngubahsuaian dan paparan mod Eco selain Kawalan Kelajuan (Cruise Control).

Sementara itu, Jazz Petrol Baru dikuasakan enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan bawah Earth Dreams Technology Honda.

Jazz Petrol Baru ditawarkan dalam tiga varian antaranya S, E dan V.

Antara pembaharuan ialah gril hadapan krom, bampar hadapan dan belakang rekaan baru, butang penghidup enjin dan sistem masuk pintar manakala butang ECON didatangkan sebagai ciri standard pada semua varian.

Penambahbaikan lain termasuk rim aloi dua tona untuk varian V, lampu nyalaan siang (DRL) LED serta kamera undur bagi varian E dan V.

Varian V juga didatang­kan dengan Paddle Shift dan Kawalan Jelajah untuk pemanduan yang lancar.

Ruang dalaman turut dipertingkatkan apabila tempat duduk separa kulit menawarkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Varian E akan dinaik taraf panel sentuhan untuk sistem pendingin hawa automatik manakala Varian E dan V dilengkapi Paparan Audio bersaiz 6.8 inci yang baru.

Dari segi keselamatan, Jazz Baru menerima penarafan lima bintang ASEAN-NCAP.

Sistem Bantuan Brek (BA) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) adalah standard bagi semua varian. Varian V me­ngekalkan enam beg udara manakala Sport Hybrid dan Varian E dilengkapi empat beg udara.

Ciri Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA) standard pada varian E, V dan Sport Hybrid.

Jazz Hybrid ditawarkan pada harga RM87,500 termasuk insurans manakala Jazz Petrol dijual pada harga RM74,800 (varian S), RM81,000 (varian E) dan RM88,400 bagi varian V.

Sebanyak lima warna ditawarkan iaitu kelabu, perak, merah, putih dan hitam manakala Jazz Hybrid Baru boleh didapati dalam warna perak, kelabu dan putih mutiara.

Jaminan untuk Jazz Petrol Baru dan Jazz Hybrid dikekalkan pada lima tahun dengan perbatuan tanpa had selain jaminan lapan tahun untuk bateri Lithium-Ion (hibrid).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:10 PM