HUSSEIN ketika hadir di lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
HUSSEIN ketika hadir di lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, tidak boleh dituntut hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu kerana pihaknya perlu menunggu keputusan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) yang diambil daripada ahli keluarganya.

"Tidak (tuntut jenazah hari ini) kerana ia (keputusan ujian DNA) mungkin ambil masa beberapa hari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perkara itu turut diakui oleh abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, yang memaklumkan pihaknya perlu menunggu keputusan DNA sebelum boleh menuntut jenazah adiknya itu.

Sehingga 4.15 petang tadi, tiada kelibat ahli keluarga Nur Farah dilihat di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nur Farah hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Klebang, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang, kelmarin, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:33 PM