Che Janiah Jaafar. Foto Ihsan Keluarga
Che Janiah Jaafar. Foto Ihsan Keluarga
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sambutan Hari Ibu sepatutnya diraikan dalam suasana gembira hari ini, namun membawa khabar duka buat keluarga wanita yang mayatnya ditemukan terbakar di tepi jalan Kampung Padang Air, Kuala Nerus, di sini, pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, Wan Mahisyamri W Abd Manan, 39, yang juga anak sulung kepada mangsa, Che Janiah Jaafar, 55, reda dengan kejadian menimpa arwah ibunya.

"Hari ini hari ibu dan kami sepatutnya meraikan bersama ibu, namun hari ini segala persoalan mengenai ibu akhirnya terjawab.

"Saya bersama enam adik-beradik lain bersyukur apabila penantian kami selama lebih dua minggu akhirnya terjawab apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat (terbakar) itu adalah ibu.

"Naluri kami memang kuat mengatakan itu mayat ibu apabila membuat pengecaman dan ketika itu, kami reda dengan apa yang berlaku, namun perlu menunggu keputusan DNA kerana ia membabitkan kes bunuh.

"Hari ini semua persoalan itu terjawab apabila polis memaklumkan keputusan DNA dan harap pelaku yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Wan Mahisyamri, arwah ibunya yang tinggal bersama dua adik lelakinya di Perumahan Awam Kos Rendah Cherang Guling, Bukit Payong, Marang keluar pada 16 April lalu.

Katanya, mereka membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Bukit Payong, Marang pada 18 April lalu selepas mangsa masih tidak pulang ke rumah.

"Bagi pihak keluarga, saya harap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian, biar polis jalankan tugas mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mayat tanpa identiti yang ditemukan terbakar disahkan seorang wanita yang dilaporkan hilang.

Ia susulan keputusan DNA yang diperoleh daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang Jumaat lalu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu selepas solat Zohor, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 9:18 PM