GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada 31 Oktober lalu ditemukan meninggal dunia di kawasan perangkap sampah di Sungai Selangor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa memaklumkan anak perempuannya yang juga OKU mental Skizofreniaberusia 35 tahun jam 9 pagi, kelmarin.

"Ibu mangsa memaklumkan anak perempuannya itu tiada di rumah mereka di Kampung Melayu Sri Kundang, pada 8 malam, 31 Oktober lalu.

"Susulan laporan diterima, kami menjalankan siasatan dengan membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) orang hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa'aton berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemui mayat seorang wanita di kawasan perangkap sampah Sungai Selangor pada 11.47 pagi, semalam.

"Mayat berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Ahli keluarga mangsa yang hilang berkenaan juga dipanggil untuk pengecaman mayat terbabit.

"Setakat ini, kami masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan DNA (asid deoksiribonukleik)," katanya.

Terdahulu, satu hantaran memaklumkan seorang wanita dikenali sebagai Siti Hajar dilaporkan hilang dari rumahnya di Blok A Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, pada 31 Oktober lalu tular di media sosial sejak kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 3:31 PM