WARGA Singapura memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atasnya kerana membunuh teman lelaki isterinya pada 2013. FOTO Izz Laily Hussein.
WARGA Singapura memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atasnya kerana membunuh teman lelaki isterinya pada 2013. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang warga Singapura memohon Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atasnya kerana membunuh teman lelaki isterinya pada 2013.

Quah Tee Keon, 56, yang turut didakwa menikam isterinya sehingga mendatangkan kecederaan dengan mengetahui tindakan itu boleh menyebabkan kematian menarik balik permohonan semakan hukuman gantung berkenaan.

"Saya tak nak minta ampun, saya minta hukum gantung sampai mati sahaja. Terima kasih," katanya.

Barisan panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian membuat keputusan membatalkan permohonan semakan itu sekali gus mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap lelaki itu.

Quah yang diwakili peguam Bernard George ditahan selepas menyerah diri kepada polis di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2013.

Berdasarkan fakta kes, dia membunuh seorang lelaki bernama Ruan Chao Qiang yang juga warga China di sebuah kediaman di Taman Mawar Indah, Triang, Bera, Pahang kira-kira jam 3.30 pagi, 13 Oktober 2013.

Dia turut mencederakan isterinya menggunakan pisau sehingga menyebabkan wanita itu mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian leher, tangan dan belakang badan di lokasi dan waktu sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 5:23 PM