SITI Saleha.
SITI Saleha.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Siti Saleha berharap dia tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila membawa watak antagonis sebagai Amy yang bekerja sebagai peguam bela terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram secara rahsia menerusi drama Scammer.

Saleha berkata, tujuan dia menjayakan watak mencabar itu hanyalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegiatan jenayah terbabit.

"Saya harap sebaik melakonkan watak ini saya tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian. Saya jayakan watak ini dengan kerelaan hati dan terbuka bagi mengembangkan lagi bakat seni yang saya miliki. "Walaupun watak yang dibawakan ini jahat dan bahaya, tapi saya tidak bimbang atau memikirkan sesuatu yang buruk bakal terjadi. Apa yang saya lakukan hanyalah sekadar lakonan semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Menurut Saleha , demi menjayakan watak Amy dia sanggup memakai solekan yang tebal termasuklah kuku palsu.

Katanya, dia juga berhasrat untuk mewarnakan rambut bagi menampakkan kelainan tapi tidak tercapai. "Watak Amy memang sangat berbeza dengan watak yang saya pernah pegang sebelum ini. Ia memerlukan saya berdandan lebih sebab dia seorang yang sangat bergaya.

KAMAL Adli dan Saleha dalam drama Scammer.
KAMAL Adli dan Saleha dalam drama Scammer.

"Jadi, saya bersiap agak lama kerana memerlukan solekan tebal dan memakai kuku palsu. Ikutkan, saya nak warna rambut supaya nampak lain. Namun, disebabkan ketika itu keadaan PKP dan salun tidak dibenarkan buka, jadi tak tercapailah hasrat saya itu. Tapi, saya buat penyambungan bulu mata palsu untuk nampak kelainan," katanya. '

Selain Saleha, drama arahan Norhanisham Muhammad itu turut menampilkan lakonan Kamal Adli, Fasha Sandha, Arash Mohamad, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Didie Alias.

Drama 20 episod terbitan Radius One Sdn Bhd itu mula menemui penonton semalam setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam di Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 3:19 PM