GAMBAR kenangan arwah Luth Izhar (berdiri dua dari kiri) bersama keluarga. FOTO Ihsan keluarga
GAMBAR kenangan arwah Luth Izhar (berdiri dua dari kiri) bersama keluarga. FOTO Ihsan keluarga
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Keluarga remaja 17 tahun yang maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas menjamu bihun goreng dan telur mata enggan menuding jari ke arah mana-mana pihak.

Bapa mangsa, Kamal Baihan, 53, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anaknya, Luth Izhar yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu.

"Keputusan bedah siasat pun mungkin akan ambil masa lama untuk pastikan perkara ini (kematian anaknya) disebabkan oleh keracunan atau tidak (walaupun) ada beberapa aduan lain termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia.

"Kejadian ini berlaku selepas kami makan makanan lebihan yang dibawa balik isteri saya, tetapi saya tidak mahu (tuduh sesiapa), kerana selama ini tiada apa masalah pun.

"Kalau kita hendak kaitkan dan sebut sekolah agama itu, kita pun rasa tidak selesa," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Selayang di sini, hari ini.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan jenazah mangsa kanak-kanak perempuan sudah selesai dibedah siasat dan dituntut keluarga 6 petang semalam.

Bapa mangsa, Nazrol Shah Hafiz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan hanya memaklumkan segala urusan pengebumian jenazah anaknya, Nur Delisha Madihah Nazrol Shah, 2, sudah selesai disempurnakan malam semalam.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan.

Kedua-dua mangsa dipercayai menjamu juadah bihun goreng dan telur mata yang disediakan untuk satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Chinchin, di Gombak pada 8 Jun sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:39 PM