GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Polis sudah mengambil keterangan 15 individu termasuk pengusaha katering bagi membantu siasatan berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian, pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, setakat ini, seramai 15 individu sudah dirakam percakapan terdiri daripada pihak penganjur, ahli jawatankuasa, pengetua dan penyedia makanan.

"Mangsa lain yang mengalami keracunan makanan pula dalam tindakan untuk merakam percakapan mereka hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Terdahulu, media melaporkan dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 19 bulan dan remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan.

Kedua-dua mangsa dipercayai menjamu juadah bihun goreng dan telur mata yang disediakan untuk satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Chinchin, Gombak pada 8 Jun sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 9:44 AM