MUHAMMAD Irwan membantu memberikan susu kepada abang kembarnya.
MUHAMMAD Irwan membantu memberikan susu kepada abang kembarnya.
Oleh Redzuan Muharam


Sungai Petani: "Adik sayang sangat dengan abang, adik nak jaga abang...nak teman abang."

Itu ungkapan Muhammad Irwan Saidin, 25, ketika ditanya sejauh mana dia menyayangi abang juga kembarnya, Muhammad Ikhwan Saidin, 25, yang kini terlantar sejak terbabit dalam kemalangan motosikal pada 8 Mei lalu.

Walaupun sudah lebih setahun hilang ingatan, kasih sayang Muhammad Irwan Saidin terhadap Muhammad Ikhwan tidak pernah luntur.

Buktinya, Muhammad Irwan tetap setia menjaga Muhammad Ikhwan malah hampir sepanjang masa menemani kembarnya itu di rumah walaupun dirinya berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Apa dilakukan Muhammad Irwan itu ibarat membalas jasa Muhammad Ikhwan kerana sanggup berhenti kerja sebagai kru di sebuah restoran makanan segera untuk menjaganya sebelum ini.

Menyingkap kisah itu, ibu mereka, Siti Roslina Yahya, 57, dari Taman Kenanga 8 di sini, menyifatkan Muhammad Ikhwan dan Muhammad Irwan sebagai kembar sehati sejiwa kerana amat rapat malah tidak pernah berpisah sejak lahir.

"Daripada kecil, abang (Muhammad Ikhwan) dan adik (Muhammad Irwan) memang rapat berdua, sekolah pun bersama, tak ada kawan lain malah mereka hanya berkawan dengan saya.

"Sampai kerja pun bersama iaitu di sebuah restoran makanan segera namun ditakdirkan, mereka terbabit dalam kemalangan pada 15 Disember 2022 hingga adik yang menunggang motosikal waktu itu hilang ingatan selepas bangkit daripada koma selama dua minggu.

"Disebabkan nak jaga adik yang berperwatakan macam kanak-kanak selepas hilang ingatan, abang sanggup berkorban dengan berhenti kerja.

"Tapi awal bulan lalu, mereka berdua terbabit dalam kemalangan kali kedua selepas motosikal ditunggang abang merempuh pembahagi jalan kerana mahu mengelak treler dan akibatnya, abang cedera parah hingga terlantar sampai sekarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Demi kelangsungan hidup, Siti Roslina yang berstatus ibu tunggal perlu keluar mencari rezeki dan kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, bagi menyara anak kembarnya.

Lantaran tidak mampu mengupah penjaga, Siti Roslina tiada pilihan melainkan mengharapkan Muhammad Irwan membantu menjaga kembarnya.

"Sebelum pergi kerja, saya siapkan dulu abang termasuk menukar lampin pakai buangnya dan ingatkan adik untuk tengokkan kembarnya serta bantu beri minum susu.

"Saya tahu adik hilang ingatan tapi hanya boleh harapkannya dan balik kerja, saya akan sambung uruskan abang.

"Begitulah rutin saya pada hari bekerja dan Alhamdulillah, adik tetap jaga malah tak pernah tinggal abang walaupun keadaannya begitu.

"Tidur pun sekatil dan nampak adik sayang sangat dengan abang kerana sering duduk di sebelah, peluk abang jadi boleh nampak abang dan adik memang sehati sejiwa," katanya.

Siti Roslina mengakui berat untuknya menanggung ujian itu namun reda dan berdoa supaya diberi kesihatan baik serta dipanjangkan umur supaya dapat menjaga anak kembarnya.

Jauh di sudut hati, Siti Roslina masih menaruh harapan anak kembarnya kembali sihat seperti dulu.

"Kini, saya hanya ada abang dan adik yang dibesarkan tanpa kasih sayang bapa selepas ayah mereka tinggalkan saya waktu hamil tujuh bulan.

"Ikutkan, saya ada tiga anak lain namun yang sulung sudah meninggal dunia sembilan tahun lalu manakala dua lagi anak perempuan sudah berkahwin jadi tak harapkan sangat mereka.

"Sebab itu, saya berdoa kepada Allah SWT semoga kembalikan ingatan adik macam dulu dan beri kesihatan kepada abang supaya dapat berjalan semula. Itu saja mampu saya lakukan," katanya yang hanya meraih pendapatan bulanan RM1,500 dan perlu membayar sewa rumah RM300 selain membesarkan anak kembarnya.

Terdahulu, kisah Siti Roslina dan anak kembarnya mendapat perhatian aktivis Pertubuhan Jariah Qaseh, Natipah Abu yang datang menziarah selain menyumbangkan sejumlah wang tunai dan motosikal.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 152125149334 atas nama Siti Roslina Yahya atau menghubunginya di talian 017-5018065.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 12:30 PM