Syazwan Najmi Zulkarni dan isteri, Siti Nur Suhaida Mohd Zaki selepas akad nikah FOTO Ihsan Haziq Faiz Photography
Syazwan Najmi Zulkarni dan isteri, Siti Nur Suhaida Mohd Zaki selepas akad nikah FOTO Ihsan Haziq Faiz Photography
(kiri) Syazwan Najmi Zulkarni dan  Siti Nur Suhaida Mohd Zaki sah bergelar suami isteri, hari ini. (Kanan) Gambar ketika pasangan itu bertunang sebelum ini. FOTO Ihsan Syazwan Najmi Zulkarni.
(kiri) Syazwan Najmi Zulkarni dan Siti Nur Suhaida Mohd Zaki sah bergelar suami isteri, hari ini. (Kanan) Gambar ketika pasangan itu bertunang sebelum ini. FOTO Ihsan Syazwan Najmi Zulkarni.
Redzuan Muharam


Gua Musang: Bapa pasangan kembar, Syazwan Najmi Zulkarni sah bergelar suami kepada pasangan pilihannya, Siti Nur Suhaida Mohd Zaki dengan sekali lafaz selepas diijabkabulkan kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Majlis akad nikah Syazwan Najmi, 26, dan Siti Nur Suhaida, 25, diadakan di Masjid Kampung Meranto, di sini dengan dihadiri ahli keluarga kedua belah pihak saja.

Berkongsi perasaannya, Syazwan Najmi bersyukur apabila majlis dirancang sejak lapan bulan lalu berjalan dengan lancar.

Menurut Syazwan Najmi,selain keluarga, anak kembarnya, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang kini berusia empat tahun paling teruja menantikan majlis berkenaan walaupun masih kecil.

"Saya gembira dan lega sangat selepas akad nikah malah nampak anak pun suka apabila datang dekat 'mummy' (nama panggilan untuk isteri) mereka.

"Mengikut perancangan awal, kami nak adakah majlis akad nikah pada Jun depan tapi diawalkan kerana nak berpuasa dan beraya sebagai satu keluarga.

"Hari ini, hanya majlis akad nikah dan dihadir keluarga terdekat saja kerana nak buat yang wajib dulu dan merancang mengadakan majlis persandingan selepas Aidiladha nanti.

"Saya dan isteri akan tinggal bersama di rumah keluarga saya di Tumpat sementara sehingga dapat rumah sewa nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syazwan Najmi berkata, keluarga Allahyarham isterinya, Siti Nur Nasuha Shafie turut diundang ke majlis akad nikah hari ini.

"Saya terharu atas kesudian mereka untuk datang ke majlis akad nikah tadi.

"Harapan saya jodoh saya dengan isteri berpanjangan, dapat melihat anak menikmati kasih sayang ibu dan bahagia hingga ke Jannah," katanya.

Sementara itu, isterinya, Siti Nur Suhaida turut bersyukur kerana disatukan dengan Syazwan Najmi walaupun menempuh banyak ujian sepanjang tempoh pertunangan.

Siti Nur Suhaida berkata, dia akan cuba sehabis baik untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak kembarnya.

"Nak sampai ke majlis hari ini memang banyak ujian termasuk daripada segi kewangan.

"Tapi Alhamdulillah, kami sah sebagai suami isteri hari ini.

"Saya dengan anak suami juga sudah serasi sampai mereka panggil saya 'mummy' malah selalu tanya bila saya nak nikah dengan abi (nama panggilan anak kepada suami) sebelum ini," katanya.

Harian Metro sebelum ini memaparkan kisah Syazwan Najmi membesarkan anak kembarnya, Medina Safiya dan Medina Sofiya yang tular selepas kematian isteri, Siti Nur Nasuha Shafie pada 14 April 2020.

Siti Nur Nasuha meninggal dunia selepas bersalin akibat komplikasi dalaman dan tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulungnya yang dilahirkan pada 31 Mac 2020 kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada 2 Julai tahun lalu, Syazwan Najmi menerusi hantaran di Instagram (IG) berkongsi khabar gembira mengenai statusnya yang sudah mengikat tali pertunangan dengan Siti Nur Suhaida.

Berita berkaitan:

'Bila Abi nak menikah?'

'Ada masanya rindu hadir, tak dapat dihalang' [METROTV]

Kembar jadi penguat semangat [METROTV]

Rindu Syazwan kepada Nur Nasuha [METROTV]

Ibu meninggal tanpa sempat tatap wajah bayi kembar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:13 PM