MUHAMMAD Anaqi Fayyadh diuji penyakit high gred glioma tahap empat iaitu ketumbuhan kanser di otak yang agresif dan kini kanak-kanak itu dikategorikan sebagai pesakit paliatif. FOTO ihsan Nur Fitri Basril
MUHAMMAD Anaqi Fayyadh diuji penyakit high gred glioma tahap empat iaitu ketumbuhan kanser di otak yang agresif dan kini kanak-kanak itu dikategorikan sebagai pesakit paliatif. FOTO ihsan Nur Fitri Basril
Noor Hidayah Tanzizi


Johor Bahru: "Setiap detik adalah masa berharga untuk saya dan suami bersama Anaqi kerana jangka hayat anak kami kurang daripada tiga bulan atau boleh 'pergi' pada bila-bila masa saja tetapi sejujurnya saya masih berharap ada keajaiban untuk anak kembali sembuh," kata Nur Fitri Basril.

Nur Fitri, 30, adalah ibu kepada Muhammad Anaqi Fayyadh Abu Zar, 3, yang diuji penyakit high gred glioma tahap empat iaitu ketumbuhan kanser di otak yang agresif dan kini kanak-kanak itu dikategorikan sebagai pesakit paliatif.

Nur Fitri berkata, sebagai ibu, dia mengharapkan keajaiban daripada Allah SWT untuk melihat anak keduanya itu bebas daripada penyakit berkenaan namun mengakui dia dan suami, Abu Zar Zainal bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

Menurutnya, ketumbuhan di kepala anak sudah semakin membesar melebihi 10 sentimeter (cm) dan keadaan itu juga menyukarkan Muhammad Anaqi Fayyadh bernafas kerana tekanan di bahagian kepalanya terlalu kuat.

"Mulut memang cakap reda tetapi hakikatnya hati ini terlalu perit melihat keadaan anak kesayangan kami semakin serius sejak Disember lalu, malah bacaan paras oksigen anak juga selalu menurun.

"Anak juga semakin kurus dan sudah tak dapat berjalan hanya terlantar dengan turut menggunakan tiub untuk minum susu khas, malah keadaannya juga semakin lemah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pasukan perubatan memaklumkan keadaan anak tidak sesuai untuk melakukan pembedahan bagi membuang tumor kanser berkenaan kerana badannya terlalu lemah dan sangat berisiko tinggi kepada kanak-kanak itu.

"Apabila doktor beritahu keadaan dan jangkaan hayat anak, saya terus menangis. Saya mengharapkan anak dapat jalani pembedahan namun tidak boleh dan sekarang kami berharap ada keajaiban untuknya.

"Tetapi pabila melihat keadaannya yang menahan sakit dan kadang-kadang sawan, saya bisikan yang saya reda dia pergi dan halalkan susu saya. Saya cuma harap saya sentiasa ada di sisinya sehingga akhir hayatnya.

"Saya reda dengan ujian ini dan sedang belajar menerima apa yang berlaku dengan sepenuh hati. Ketika ini saya sangat menghargai masa yang ada bersama anak dan berharap orang ramai juga boleh doakan anak kami diberikan keajaiban," kata ibu kepada tiga anak itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Muhammad Anaqi Fayyadh didiagnosis penyakit itu pada 21 Jun lalu selepas mengalami perubahan mendadak ketika hampir terjatuh tangga di rumah ibu saudaranya.

Sebelum ini Muhammad Anaqi Fayyadh yang menetap di Kempas, di sini bersama keluarganya juga sudah melakukan dua pembedahan bagi membuang ketumbuhan di kepalanya.

Penderitaannya mendapat perhatian di TikTok apabila bapa saudaranya yang juga adik ipar Nur Fitri berkongsi video memerlukan bantuan kos perubatan kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:01 PM