FITRI bersama bayinya, Muhammad Anaqi Fayyadh yang menderita ketumbuhan otak. FOTO ihsan NUR FITRI
FITRI bersama bayinya, Muhammad Anaqi Fayyadh yang menderita ketumbuhan otak. FOTO ihsan NUR FITRI
Noor Hidayah Tanzizi


Cheras: Mendengar rintihan dan tangis anak kesayangan yang baru berusia setahun 11 bulan menahan kesakitan kerana ketumbuhan otak meremukkan hati Nur Fitri Basril yang kini hamil tujuh bulan.

Anak kedua Nur Fitri, 29, Muhammad Anaqi Fayyadh Abu Zar didiagnosis penyakit itu pada 21 Jun lalu selepas mengalami perubahan mendadak akibat hampir terjatuh tangga di rumah ibu saudaranya tiga bulan lalu.

Penderitaan Muhammad Anaqi Fayyadh mesra disapa adik itu mendapat perhatian di TikTok apabila bapa saudaranya yang juga adik ipar Nur Fitri berkongsi video bayi lelaki itu memerlukan bantuan kos perubatan.

Nur Fitri berkata, Muhammad Anaqi Fayyadh turut diuji apabila diserang angin ahmar di bahagian kiri badan kesan penyakitnya itu dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, sejak seminggu lalu.

Menurutnya, anaknya akan menjalani prosedur untuk memasukkan kamera di paha hingga ke otaknya untuk pemeriksaan lanjut di bahagian berkenaan.

"Ketumbuhan di otak kanan adik sebesar 10 sentimeter (cm) dan saya dimaklumkan kedudukannya di sebelah saluran darah serta berdarah. Bahagian badan sebelah kiri adik juga sudah tidak berdaya kerana angin ahmar.

"Adik perlu mengambil ubat radang otak supaya ketumbuhan itu tidak membengkak. Setiap kali adik menahan sakit, hati saya hancur melihat anak sekecil itu menanggung kesakitan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Fitri yang tinggal di Kempas, Johor Bahru berkata, mereka kini berkampung di HPKK UKM untuk rawatan anak yang sebelum ini dilakukan di Johor Bahru.

Menurutnya, anggaran kos perubatan Muhammad Anaqi Fayyadh dianggarkan dibawah RM100,000 dan itu membuatnya serta suami bimbang kerana mereka tidak berkemampuan.

Katanya, bil rawatan anaknya termasuk ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) di sebuah hospital swasta sebelum ini juga terpaksa ditanggung sendiri atas beberapa faktor.

"Saya tidak bekerja dan suami (Abu Zar Zainal) hanya pemandu lori yang kini terpaksa berhenti sementara. Pihak hospital (HPKK UKM) ada beritahu mereka bersedia membantu kami untuk proses bantuan melalui pihak berkaitan.

"Saya tersentak mendengar kos perubatan adik tetapi sebagai ibu saya mahu dia mendapatkan rawatan terbaik supaya dapat membesar dengan sihat seperti anak seusianya," katanya yang mempunyai seorang lagi anak perempuan.

Katanya, dalam keadaan sarat hamil ketika ini dia tetap mengutamakan anaknya biarpun pinggangnya selalu sakit terutama ketika mendukung Muhammad Anaqi Fayyadh.

"Ini ujian buat keluarga kami dan saya reda biarpun hati ini tidak kuat melihat anak kecil saya menahan sakit berjuang melawan penyakitnya. Setiap hari kami berdoa supaya adik kembali sihat dan bebas daripada penyakitnya.

"Kami juga berusaha membawa adik melakukan rawatan alternatif seperti berurut dan bahagian kiri badan adik sudah boleh digerakkan sedikit," katanya memberitahu anak turut mendapat bantuan dana perubatan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank bernombor 151240161027 atas nama Nur Fitri Basril.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:35 PM