KAJIAN menunjukkan penuntut mengalami empat ciri yang menyumbang kepada burnout.
KAJIAN menunjukkan penuntut mengalami empat ciri yang menyumbang kepada burnout.
Mahaizura Abd Malik

LAZIMNYA istilah burnout digunakan dalam konteks keletihan di tempat kerja namun penemuan terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan gejala itu juga boleh berlaku kepada seseorang jika tidak berupaya melakukan rutin harian biasa dibuat.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku UKM, Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pihaknya mengesan gejala burnout melalui kesan negatif persekitaran dilalui penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, kajian khas itu dilakukan ke atas 159 responden yang terperangkap di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggunakan alat yang dibangunkan mengikut kesesuaian situasi terbabit.

"Kajian menunjukkan penuntut mengalami empat ciri yang menyumbang kepada gejala berkenaan seperti pesimisme (bersangka buruk) terhadap kolej kediaman atau institusi pengajian tinggi, keletihan disebabkan aktiviti atau tugasan diaturkan, perasaan tidak mencukupi serta masalah dialami ketika melalui tempoh PKP.

"Hasil kajian menunjukkan 37.6 peratus daripada 159 penuntut yang terperangkap ketika PKP dikesan mengalami gejala burnout.

"Dalam bidang psikologi, burnout bukan konsep rasmi, namun beberapa dekad ini, ia dirujuk sebagai rasa letih dan ketidakupayaan melakukan perkara rutin.

"Walaupun penggunaan gejala burnout lebih dominan dialami di tempat kerja, konsep ini boleh diperluaskan ke persekitaran lain seperti situasi dialami penuntut IPT," katanya.

Selain itu katanya, hasil kajian bermula Mac hingga April lalu ke atas responden berusia antara 20 hingga 25 tahun itu mendedahkan kumpulan penuntut itu mengalami isu psikologikal lain.

"Kesan lain dialami termasuk masalah kesihatan mental seperti psikosomatik, kerisauan, insonmia, ketidakfungsian sosial dan kemurungan sebanyak 24 peratus serta kesunyian (64 peratus).

"Susulan kajian itu, beberapa intervensi dilakukan penyelidik untuk mengatasi masalah psikologi ini termasuk menggunakan teknologi dalam mewujudkan proses sosialisasi mengikut normal baharu.

"Misalnya mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi meluahkan rasa tekanan, sunyi dan keletihan disebabkan proses burnout tadi.

"Selain itu, perancangan dalam mewujudkan aktiviti yang mematuhi SOP juga dibangunkan untuk mengurangkan isu kesunyian seperti berkumpul dengan jarak sosial satu meter ketika pengagihan makanan serta keperluan harian pelajar," katanya.

 Dr Shazli Ezzat Ghazali.
Dr Shazli Ezzat Ghazali.

Kes 1:

Kesunyian tinggal keseorangan di kolej kediaman, menyebabkan Aini, 22, mengalami satu daripada gejala masalah kesihatan mental.

Aini berkata, rasa sunyi yang mendalam membuatkan dirinya kerap teringatkan keluarga di kampung halaman.

"Saya rasa sangat sunyi apatah lagi ramai kawan sudah balik kampung. Saya selalu menangis apabila teringatkan keluarga.

"Sampai satu tahap, saya rasa macam putus asa dan gemar menghabiskan masa dengan tidur sahaja.

"Situasi berulang kali setiap hari membuatkan saya hilang rasa seronok dan keletihan melampau (burnout)," katanya.

Anak kelahiran utara itu ditemui dalam biliknya dengan keadaan tidak bermaya selepas dikesan tidak mengambil makanan di kafeteria.

Situasi Aini disedari melalui inovasi sistem data yang dibangunkan pihak pentadbiran kolej tempat penuntut itu belajar dan selepas gagal dihubungi menerusi telefon pintar.

Keadaan penuntut itu bertambah stabil dan normal selepas pihak pentadbiran kolej memberikan perhatian dan menyediakan kaunseling khas.

Kes 2:

Tidak dapat melakukan aktiviti diminati sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sekumpulan penuntut lelaki ini kemurungan dan burnout.

Pelajar, Amran,20, berkata, sebelum PKP dia dan tiga rakannya aktif ke gimnasium.

"Semasa PKP, pergerakan kami terhad membuatkan lebih banyak masa dalam bilik dan mengikuti aktiviti ditetapkan pihak pentadbiran.

"Pada mulanya kami buat aktiviti itu dengan terbuka, namun apabila kerap mengulangi perkara sama setiap hari, emosi dan mental kami keletihan.

"Lama-kelamaan kami hilang seronok, tidak bermaya, resah dan murung," katanya.

Katanya, gejala dialami dia dan rakannya dikenal pasti ketika mereka menyertai satu sesi luahan dalam kumpulan WhatsApp.

"Sepanjang sesi itu, kami dilatih cara menstabilkan semula emosi dan mental kami.

"Saya tidak sedar, rupanya gejala burnout juga boleh berlaku kepada saya dan rakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 8:00 AM