SEBANYAK 90 peratus pengguna menggunakan telefon untuk membeli-belah dalam talian.
SEBANYAK 90 peratus pengguna menggunakan telefon untuk membeli-belah dalam talian.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BERASA kekosongan dan kebosanan menjadi punca individu terperangkap dengan masalah ketagihan pembelian dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini ditambah pula dengan kesukaran mengawal tingkah laku obsesif membeli atas talian kerana terlalu asyik mengumpulkan barangan tawaran sehingga tidak sedar banyak wang dan masa dihabiskan untuk aktiviti ini.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, ini mendorong mereka mencari aktiviti yang dapat memberikan keseronokan melalui cara pembelian dalam talian.

Menurutnya, keterujaan ini lebih berganda apabila ada promosi harga murah menyebabkan mereka leka membeli-belah hingga tidak dapat menilai antara barangan keperluan atau kehendak.

"Tindakan ini bukan sahaja menghabiskan wang, tetapi juga masa dibazirkan begitu sahaja kerana terlalu lama melayari laman web e-dagang.

"Ada pula yang sanggup tidak makan, tidak tidur dan tidak menguruskan diri semata-mata mahu membeli-belah dalam talian," katanya.

Beliau berkata, ini kerana sekiranya mereka tidak melakukan pembelian dalam talian, ia boleh membuatkan mereka gelisah dan murung.

"Gejala ini (gelisah dan kemurungan) akan membuatkan mereka bermain dengan emosi obsesif serta kompulsif.

"Kompulsif ialah melakukan aktiviti yang sama berulang-ulang hingga kepada tahap kepuasan yang disasarkan, tetapi tidak dapat mencapainya.

MEMBELI-belah dalam talian meningkat sepanjang PKP.
MEMBELI-belah dalam talian meningkat sepanjang PKP.

"Manakala obsesif pula membabitkan pemikiran iaitu kerap memikirkan mahu membeli barangan terutama apabila ada promosi harga murah.

"Pada mulanya sekadar melihat produk yang dijual di platform e-dagang, tetapi akhirnya terjebak dengan pembelian tanpa sengaja," katanya.

Beliau berkata, sejak Mac tahun lalu, berlaku peningkatan mendadak aktiviti jualan dan pembelian dalam talian iaitu 28.9 peratus.

"Tahun ini, ia terus meningkat dan pertumbuhannya mencecah 48 peratus.

"Peningkatan ini dibantu dengan kebolehcapaian 24 jam platform e-dagang untuk membeli barangan dalam talian membolehkan mereka berbelanja tanpa had masa.

"Ini menyumbang kepada ketagihan berbelanja dalam talian kerana seronok dengan aktiviti berkenaan," katanya.

Dr Shazli Ezzat berkata, sekiranya individu berasakan dirinya mengalami masalah ketagihan pembelian dalam talian, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar bagi mengatasi masalah berkenaan.

DR SHAZLI EZZAT
DR SHAZLI EZZAT

Katanya lagi, banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini, antaranya ialah dengan nyahpasang aplikasi yang memudahkan pembelian dalam talian pada telefon bimbit.

"Contohnya aplikasi platform e-dagang dan dompet digital (e-wallet).

"Dianggarkan 90 peratus pengguna menggunakan telefon untuk membeli-belah dalam talian.

"Selain itu, kurangkan penggunaan kad kredit dan digalakkan menggunakan kad debit kerana ini antara faktor yang menyebabkan individu melakukan pembelian dalam talian secara berlebihan serta tidak terkawal," katanya.

Beliau berkata, individu yang mahu mengelakkan daripada ketagihan pembelian dalam talian ini berhadapan kesukaran kerana berperang dengan emosi, tekanan, kegelisahan dan ada kalanya kemurungan.

"Sebab itu sokongan sosial amat penting diberikan kepada individu terbabit supaya mereka berjaya mengatasi masalah ketagihan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:13 AM