PERKUKUH hubungan sosial dengan ahli keluarga, rakan dapat kurangkan tekanan hadapi situasi akibat Covid-19.
PERKUKUH hubungan sosial dengan ahli keluarga, rakan dapat kurangkan tekanan hadapi situasi akibat Covid-19.
Nazarali Saeril


Setiap hari, kita dikemas kini dengan maklumat berkaitan jumlah kes positif Covid-19 yang secara tidak langsung boleh memberi implikasi pada pemikiran dan emosi.

Pakar Psikologi Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shazli Ezzat Ghazal berkata, ia memberi kesan kepada pemikiran, emosi dan tingkah laku seterusnya menyumbang kepada kemerosotan tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Kesihatan mental adalah situasi yang individu menyedari potensinya boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, boleh bekerja dengan produktif dan menyumbang kepada masyarakat.

"Ia menjurus kepada keupayaan individu untuk berfikir, merasa dan bertindak dengan baik, menghadapi masalah dan tahu mengatasinya.

"Namun, adakah pengumuman angka yang membimbangkan memberi kesan kepada tahap kesihatan mental kita? Jawapannya sudah tentu terkesan," katanya.

Menurut beliau, lanjutan itu, adalah penting untuk masyarakat kekal positif, mengambil iktibar dan mencari potensi diri dengan cara yang positif bagi melawan emosi serta pemikiran negatif yang boleh merosakkan diri.

Katanya, dalam ilmu psikologi, kawalan kendiri adalah keupayaan seseorang untuk menguruskan dorongan, emosi, pemikiran dan tingkah laku untuk mencapai tujuan jangka panjang.

"Kawalan kendiri ini beroperasi pada korteks prefrontal pusat perancangan, penyelesaian masalah dan pengambilan keputusan otak.

"Oleh itu, untuk aktifkan kawalan kendiri, kita perlu fokus kepada cara pemikiran iaitu dengan sentiasa berfikiran positif dan ketahui fakta," katanya.

DR Shazli Ezzat Ghazal
DR Shazli Ezzat Ghazal

Menurut Dr Shazli Ezzat, kebiasaannya, otak mudah tertekan dan terganggu apabila menghadapi situasi yang tidak diketahui selain tidak pasti seperti Covid-19.

Katanya, fakta diperlukan supaya otak boleh merancang, bersedia dan menyelesaikan masalah, namun perlulah merujuk kepada sumber yang dipercayai serta tepat.

"Cara terbaik untuk kekal tenang dan berfokus ialah mengekalkan rutin harian seperti bersenam, makan, membaca buku dan tidur apabila aktiviti ini dapat mengelakkan kebosanan, keresahan serta berfikir secara berlebihan.

"Selain itu, kita digalakkan menapis maklumat yang ada di persekitaran dengan memilih maklumat yang berkualiti dan diperlukan saja," katanya.

Dr Shazli Ezzat turut meminta masyarakat supaya memperkukuhkan proses sosialisasi.

Caranya ialah dengan memperkukuhkan hubungan sosial dengan ahli keluarga dan rakan kerana ia dapat mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan.

"Gangguan emosi dapat dilihat antaranya daripada segi luahan kebimbangan, cepat tersinggung, rasa sedih dan menangis, hilang keseronokan sehingga menyebabkan kurang selera makan dan mengalami masalah tidur.

"Gangguan pemikiran pula antaranya ditunjukkan melalui pemikiran negatif, tidak dapat fokus serta tidak dapat membuat keputusan yang baik," katanya.

Menurut beliau, senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari, atau mungkin boleh dipanjangkan kepada sejam sehari dapat meningkatkan hormon endorphin dan serotonin.

Ia akan membuatkan kita tenang, gembira, cergas serta bertenaga.

"Pembudayaan norma baharu juga adalah hasil proses penerimaan daripada aspek emosi dan pemikiran kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:10 AM