ERNIE Zakri. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
ERNIE Zakri. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
Sudirman Mohd Tahir

Kehebatan penyanyi Ernie Zakri di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) lalu membuka mata banyak pihak yang menidakkan bakatnya selama sembilan tahun dalam bidang nyanyian.

Kemenangan Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 26, merangkul Vokal Terbaik bersama rakan duetnya Syamel, membuatkan dia kian digilai.

Dalam erti kata lain, Ernie mula mengumpul peminat baru.

Malah ada antara mereka mula membuat rujukan mengenai Ernie dan mencari semula lagu yang pernah dinyanyikannya di laman YouTube.

Dalam masa sama, tidak kurang juga beranggapan Ernie penyanyi baru dan sebaris dengan kelompok Budak Baru Nak Up (BBNU).

“Saya tidak kisah jika ada yang berfikir begitu. Malah, saya tidak ada hak untuk menyalahkan mereka. Kebetulan lagu Aku Cinta popular ketika ramai penyanyi baru lain.

“Ramai tahu karier nyanyian saya bermula pada 2009. Cuma belum rezeki untuk dikenali seperti sekarang.

“Apabila mereka mula kenal dan ambil tahu mengenai saya, ia satu perkembangan bagus. Apa yang penting, saya boleh menunjukkan bakat yang ada kepada mereka. Kalau mereka suka, Alhamdulillah,” katanya.

Dari sudut lain pula, kelebihan vokal dimiliki Juara Bintang RTM 2009 ini membuatkan sebilangan penyanyi rasa gerun terutama ketika dia menyanyikan semula lagu orang lain.

Ramai menyifatkan nyanyian dan versi Ernie jauh lebih sedap dan merdu berbanding penyanyi asal.

“Sejujurnya, saya masih belajar. Perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini. Apa yang orang lihat adalah apa yang kami miliki dan ingin kongsi kepada semua.

“Tidak ada niat lain pun. Saya syukur dan terharu kalau ada penyanyi lama yang puji.

“Setiap kali menyanyikan semula lagu orang, saya bukannya nak tunjuk diri bagus. Niat saya adalah untuk beritahu saya suka menyanyi. Selain itu, ia strategi untuk orang lebih mengenali saya,” katanya.

Terbaru, nyanyian Ernie menerusi lagu Di Matamu dendangan asal Sufian Suhaimi tular di media sosial. Rata-rata berpendapat nyanyian Erni penuh jiwa.

Sehinggakan, Ernie akui terdapat beberapa rakan artis yang meminta dia menyanyikan lagu mereka dengan harapan karya itu tular.

ERNIE Zakri. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
ERNIE Zakri. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman

“Saya menyanyikan lagu orang lain dan muat naik di Instagram bukan kerana mahu tularkan lagu itu.

“Malah, jauh sekali menggunakan pendekatan ini sebagai satu bentuk perniagaan. Saya tidak mahu orang salah anggap.

“Saya buat sebab minat dan suka dengan lagu berkenaan. Lagi pun, kebanyakan lagu yang saya nyanyi terlebih dulu tular atau popular. Mungkin secara kebetulan saja mereka berasakan nyanyian saya berbeza daripada versi asal,” katanya.

Tak salah nyanyi di IG

Ramai berpendapat tindakan Ernie memuat naik video nyanyian di laman Instagram mengurangkan eksklusiviti dirinya.

Ernie mengakui ada juga yang menegurnya dan dia tidak menolak pandangan itu.

“Dalam perkara ini, terpulang kepada persepsi masing-masing. Sebenarnya, saya bukan buat selalu.

“Kalau ada ‘mood’ dan lagu yang saya minat, baru rakam. Saya fikir tidak salah kalau saya menyanyi di IG kerana ia platform terbaik untuk peminat mendekati saya.

“Saya tahu, mereka susah nak jumpa atau menyaksikan persembahan saya, jadi apabila muat naik video sekurang-kurangnya mereka tahu. Namun, saya buat sesekali saja. Saya nak menghiburkan orang,” katanya.

Perkembangan lain, Ernie yang kali terakhir muncul dengan single Jangan Marah mengaku tidak sabar untuk melancarkan lagu terbaru berentak balada.

“Buat masa sekarang lagu ini dalam proses akhir iaitu mastering. Susunan muzik orkestra lagu ini dibuat di Budapest. Insya-Allah dalam tempoh dua minggu lagi ia akan dilancarkan.

“Bagi menambahkan keterujaan peminat, baru-baru ini saya membuat cabaran ‘humming’ pada bahagian korus lagu ini. Alhamdulillah, sambutan sangat baik meski mereka belum mendengar versi penuh.

“Saya berharap lagu ini boleh pergi jauh kerana ia karya paling susah pernah saya rakam setakat ini. Apatah lagi, saya mengetengahkan beberapa teknik vokal dalam lagu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 4:58 AM