SYARIAH adalah suatu ketetapan diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
SYARIAH adalah suatu ketetapan diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
Datuk Mohd Ajib Ismail

KEDUDUKAN syariah sebagai sebuah peraturan yang membatasi kehidupan manusia sesuai sepanjang zaman sebagaimana termaktub dalam al-Quran dan hadis. Syariah Islam yang diwarisi sejak zaman Nabi Muhammad SAW suatu panduan yang lengkap untuk seluruh umat manusia bagi mencapai al-falah atau kejayaan hidup di dunia dan akhirat melalui kesempurnaan akidah, syariat serta akhlak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 48 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab suci yang diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)."

Syariah adalah suatu ketetapan diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam berkaitan akidah dan perbuatan mukalaf. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Jathiyah ayat 18 yang bermaksud: "Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) daripada hukum-hukum agama maka turutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)."

Syariah ditetapkan bagi memelihara kehidupan manusia dalam lima aspek penting iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam konteks kenegaraan, memelihara agama (addin) bermaksud mengelak sebarang anasir yang mengancam asas yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Memelihara nyawa (hifz an-nafs) pula bermaksud memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memenuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan kestabilan. Memelihara akal bermaksud proses membangunkan masyarakat dengan intelektual dan nilai murni. Segala unsur yang menjurus kepada kerosakan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan mesti dikekang dan dibanteras. Memelihara keturunan bermaksud suatu usaha membina masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat. Memelihara harta bermaksud melindungi kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan beralih ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah seperti ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya. Pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara yang menzalimi serta merugikan.

Di Malaysia, hukum-hakam syariah yang dikanunkan menjadi kuasa perundangan bagi mengurus tadbir hal ehwal umat Islam di peringkat negeri melalui peruntukan akta dan enakmen. Undang-Undang Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan misalnya memberikan kuasa kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai badan hisbah dalam menjaga tatasusila masyarakat. Institusi hisbah memainkan peranan penting dalam negara Islam suatu masa dahulu bagi menjaga dan mengawasi kemaslahatan masyarakat. Para ilmuwan Islam mendefinisikan institusi hisbah sebagai suatu badan pengawasan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengawasi kegiatan individu dalam perkara berkaitan akhlak, akidah dan sosial dengan tujuan mengekalkan keadilan serta kemuliaan sebagaimana yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, usaha berkenaan dilaksanakan oleh Jawi melalui tugas amar makruf nahi munkar berdasarkan skop tugas dan bidang kuasa yang ditentukan. Sebagai contoh Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) adalah undang-undang yang mengatur masalah keluarga Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Undang-undang ini mengatur pernikahan, perceraian, nafkah, hak penjagaan anak dan harta pusaka dalam konteks hukum Islam. Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) pula adalah undang-undang yang memperuntukkan jenis kesalahan dan hukuman jenayah syariah berhubungan dengan akidah serta kesusilaan seperti menghina agama, khalwat, berjudi dan lain-lain.

Islam ialah agama yang menganjurkan amar makruf dan mencegah kemungkaran yang boleh merosakkan masyarakat. Firman Allah dalam Surah ali-Imran ayat 104 bermaksud "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya."

Agenda pemerkasaan undang-undang syariah yang sedang diusahakan kerajaan mesti disambut baik oleh semua pihak. Perkara tersebut bertujuan menyerlahkan fungsi syariah ke arah melahirkan generasi 'khaira ummah'. Tindakan berkenaan selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Baginda menegaskan usaha berkenaan perlu dilaksanakan dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Susulan itu, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk menggubal Undang-Undang Islam telah pun digerakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam suatu kenyataan juga menzahirkan komitmen yang tinggi ke arah usaha menyeragamkan kuasa mahkamah syariah dan cadangan penubuhan Jabatan Penguatkuasaan Syariah di setiap negeri bagi memperkasa pelaksanakan undang-undang syariah pada masa akan datang.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 5:59 AM