SHAHRUL (kiri) bersama Mohd Daud pada sidang media KDA FC, baru-baru ini. FOTO IZZALI ISMAIL
SHAHRUL (kiri) bersama Mohd Daud pada sidang media KDA FC, baru-baru ini. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Isu baki tunggakan gaji Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi musim 2023 selesai sepenuhnya apabila pemilik dan pihak pengurusan menokhtahkan permasalahan itu dengan pembayaran penuh, semalam.

Baki tunggakan gaji itu diselesaikan sebelum tarikh akhir diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) sebelum ini iaitu pada 20 April.

Ia bakal menyaksikan KDA FC membuka lembaran baharunya untuk sah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin, tunggakan gaji itu merangkumi semua pemain dan pegawai Pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab berkenaan sebelum tarikh ditetapkan iaitu 20 April ini.

"Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak dari hujung tahun lepas.

"Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (pemilik) tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk keluar daripada belenggu masalah dihadapi kelab.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha dilancarkan sebelum ini.

"Kejayaan membayar semua tunggakan gaji musim lalu menyaksikan KDA FC memenuhi syarat dan seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini," katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.

Shahrul memaklumkan pihaknya positif dengan perkembangan dilalui KDA FC pada masa kini dengan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang bagi musim 2024-2025 dan seterusnya untuk lebih tersusun, efektif, jitu dan menurut kerangka lebih efisyen.

Beliau berkata, sebagai kelab diswastakan sepenuhnya selepas proses pemisahan Persatuan Bola Sepak (Football Association) ke Kelab Bola Sepak (Football Club) pada penghujung 2020 hingga kini, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara amat penting.

"Perkara itu diakui mencabar dalam meneruskan kelangsungan operasi kelab di kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa dan KDA FC memerlukan dana kewangan kukuh serta stabil.

"KDA FC amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan daripada semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.

"Kami menyeru semua pihak di luar sana seperti pihak korporat dan usahawan tempatan untuk bersama-sama memberikan sokongan, dorongan, galakan dan sumbangan untuk membantu membangunkan bola sepak di peringkat negeri mahukan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:33 PM