DR Muhammad memberi kejutan pakej menunaikan umrah kepada ibu, Rohana pada 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan  Dr Muhammad Aliff Md Zaki.
DR Muhammad memberi kejutan pakej menunaikan umrah kepada ibu, Rohana pada 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan Dr Muhammad Aliff Md Zaki.
Noor Hidayah Tanzizi


Paka: "Ma (ibu) memang tidak pernah sebut (minta dibawa ke Makkah) tetapi saya tahu (keinginan menunaikan umrah atau haji) adalah impian semua orang Islam dan ini adalah hadiah paling bermakna untuk ma," kata Dr Muhammad Aliff Md Zaki.

Dr Muhammad Aliff, 31, sebelum ini mendapat perhatian di TikTok selepas videonya memberi kejutan pakej menunaikan umrah di Makkah kepada ibu, Rohana Abd Rahman, 57, pada 1 Syawal lalu meraih pujian netizen akaun media sosial itu.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ibunya yang bekerja sebagai guru itu akan menunaikan umrah bersamanya pada September ini dan dia mengakui bersyukur berpeluang dapat membawa 'syurganya' itu ke Tanah Suci.

Menurutnya, perancangan itu dilakukan sejak awal bulan lalu selepas dia menemui agensi pelancongan yang juga pengendali pakej umrah dan berhasrat membuat kejutan pada pagi Aidilfitri ketika mereka bersalaman.

"Kejutan ini hanya diketahui isteri dan saya rancang beritahu pada hari raya kerana tarikh penerbangan kami lewat lagi iaitu pada September.

"Ini kali pertama ma menunaikan umrah dan saya teruja mahu memberinya kejutan.

"Reaksi ma ketika itu seperti 'blur' (keliru) namun dia teruja dan gembira tidak terkata apabila membuka sampul raya melihat tulisan pakej umrah itu.

"Alhamdulillah rezeki kami dapat menunaikan umrah tahun ini," katanya memberitahu isteri tidak dapat mengikutnya kerana mempunyai urusan.

Katanya, dia bersyukur dapat membawa ibu tersayang ke Tanah Suci buat kali pertama dan turut sedih kerana tidak sempat melakukan perkara sama kepada bapa yang sudah meninggal dunia pada 2022.

"Biarpun begitu kami buat upah haji untuk arwah ayah dan rezeki ma ke tanah suci. Ma tak pernah sebut (ke Makkah) cuma kita tahu impian semua orang Islam memang mahu pergi sana.

"Ayah pula sudah tiada dia juga tak tahu nak rancang macam mana jadi ada rezeki saya mahu bawa ma," katanya bertugas di Klinik Kesihatan Gambang, Kuantan, manakala ibu menetap di Kampung Tebing Tembah, di sini.

Berhubung perkongsiannya videonya, Dr Muhammad Aliff berkata, video kejutan berkenaan untuk berkongsi momen dan kegembiraan keluarganya dengan rezeki bermakna itu serta mengakui mungkin rezeki sama juga akan diperoleh orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:00 PM