HALIMATON SAADIAH
HALIMATON SAADIAH
Norhayati Nordin

"ALHAMDULILLAH, dapat juga saya rezeki menjejakkan kaki kali kedua ke Tanah Suci Makkah untuk megerjakan umrah lagi. Allah makbulkan doa saya," kata pelakon veteran Mak Wan atau nama sebenarnya Halimaton Saadiah Mohd Daud.

Mak Wan, 58, berkata kali pertama dia pernah menunaikan umrah pada 2015, ketika dalam keadaan kurang upaya selepas terbabit kemalangan.

"Saya terkejut sangat dan terus pengsan selepas nama diumumkan antara 25 insan yang bertuah mendapat tajaan pakej umrah disediakan.

"Maklumlah, saya tak sangka doa yang sering dimohon pada Allah setiap kali solat, akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Ujar Mak Wan lagi, dia hanya mampu mengucap kesyukuran pada Yabg Esa apabila diberikan peluang menunaikan umrah untuk kali kedua.

"Saya merasakan diri sangat kerdil untuk memperoleh penghargaan yang bermakna ini.

Saya sangat terharu dan rasa cukup bertuah.

"Walaupun miskin dan tidak berkemampuan, ada juga insan yang baik hati sudi membuat tajaan ini dan saya terpilih," katanya.

Ujar Mak Wan, kejutan itu diterimanya ketika menghadiri sebuah program bual bicara siaran langsung yang dikendalikan oleh pengacara Didie Alias, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia hanya tahu jemputan diterima untuk ke program berkenaan sebagai salah seorang penonton dan tidak tahu langsung akan jadi penerima tajaan pakej umrah berkenaan.

"Saya datang ke program itu selepas dijemput Didie untuk jadi penonton. Saya datang dengan Grab dan ketika di sana saya diserang sesak nafas kerana asma pula.

"Mungkin sebab itu, saya terus pengsan akibat terlalu terkejut sebaik dipanggil Didie dan dia pula serahkan 'mock-up' tajaan pakej umrah berkenaan," katanya.

Apapun, impian Mak Wan untuk mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah dijangka menjadi kenyataan sekitar tahun hadapan, selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:51 PM