DIDI Astillah (kiri) bersama kakaknya, Bella Astillah.
DIDI Astillah (kiri) bersama kakaknya, Bella Astillah.
Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Ya, mereka (Aliff Aziz dan pelakon wanita) ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)," kata adik kepada pelakon, Bella Astillah iaitu Didi Astillah sekali gus mengesahkan laporan media mengenai dakwaan pelakon berstatus suami orang dicekup berkhalwat dengan seorang pelakon wanita popular di sebuah kondominium mewah di sini, awal pagi tadi adalah abang iparnya, Aliff Aziz.

Menurutnya, dia bersama kakaknya hadir ke pejabat Jawi selepas dimaklumkan mengenai tangkapan yang dibuat pasukan penguat kuasa terbabit.

"Kalau boleh beri ruang kepada kakak saya untuk dia bertenang terlebih dulu sebab apa yang berlaku ini amat mengejutkan kami sekeluarga.

"Kami pun tak tahu nak bagi reaksi macam mana. Insya-Allah apabila kakak saya sudah bersedia dia akan berikan kenyataan," katanya ketika ditemui di pejabat Jawi.

Didi berkata, dia mengetahui perkenalan abang iparnya dengan pelakon wanita itu.

"Sebagai adik saya tidak mahu masuk campur urusan keluarga kakak saya. Cuma kami sekeluarga kenal rapat dengan pelakon wanita itu tetapi tak tahu sejauh mana hubungan mereka.

"Saya pun tak berani nak cakap berapa kerap sudah mereka keluar bersama," katanya.

Sementara itu, Bella yang ditemui enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung tangkapan yang dibuat terhadap suaminya.

Terdahulu, Harian Metro mendedahkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di sini, awal pagi tadi.

Menurut sumber, pasangan selebriti yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama itu ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 7:45 AM