Aisha Retno
Aisha Retno
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Aisha Retno tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang walaupun lagu Sutera disebut-sebut mempunyai potensi besar untuk memenangi Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Ahad ini.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, berkata, sebagai penyanyi yang kali pertama bersaing di pentas berprestij itu dia tidak tahu apakah 'senjata rahsia' yang bakal ditampilkan kesemua 11 finalis lain.

"Saya tak nak terlalu yakin apabila ramai yang memperkatakan lagu Sutera mempunyai peluang besar untuk AJL38.

"Ini kerana, saya sendiri pun tak tahu apakah senjata yang bakal dibawakan finalis lain nanti.

"Namun apa yang penting sekarang ini adalah memberikan persembahan terbaik selain memperkenalkan lagu Sutera kepada lebih ramai pencinta muzik yang mungkin tidak tahu mengenai lagu ini.

"Soal menang atau tidak saya serahkan kepada kuasa juri untuk menentukan lagu mana yang layak diangkat sebagai juara AJL38 pada Ahad ini," katanya ketika ditemui pada sesi raptai di Axiata Arena, di sini, hari ini.

Menurut Aisha, setakat ini dia belum merasai sebarang tekanan dan bersyukur segala persiapan menuju hari pertandingan sudah 90 peratus siap.

"Persiapan sudah siap sebanyak 90 peratus. Kini tinggal untuk mencantikkan persembahan saya nanti kerana bakal menampilkan 22 penari pada hari kejadian.

"Saya pun tak sabar untuk melihat apa keunikan yang bakal dihidangkan finalis lain pada hari Ahad ini.

"Saya pun masih ingat lagi kata-kata Hael Husaini yang memberitahu AJL ini adalah satu perayaan buat komposer dan penulis lirik. Jadi saya nak buat yang terbaik," katanya.

Dalam masa sama, Aisha memberitahu, dia melantik penyanyi Yuka Karisma sebagai ketua bahagian kreatif yang akan membantu perjalanannya ke AJL38 termasuk konsep persembahan yang bakal dibawakan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 5:18 PM