BARISAN finalis AJL38 ketika sesi ‘Meet & Greet’ bersama peminat di Pasar Seni. FOTO Rohanis Shukri
BARISAN finalis AJL38 ketika sesi ‘Meet & Greet’ bersama peminat di Pasar Seni. FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal


Bertemakan Muzikaverse, malam kemuncak, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Mac depan menjanjikan persembahan terbaik dan paling ikonik dalam sejarah.

Pengurus, Pengurusan Kandungan dan Siaran (Hiburan) TV3, Aizat Nizam berkata, tema Muzikaverse dipilih kerana ia gabungan dua perkataan iaitu Muzik dan Multiverse yang bermaksud menggabungkan dunia penyanyi, penulis lirik dan komposer yang berbeza dalam mencipta sebuah karya lagu yang baharu.

Katanya, sejak penganjurannya, AJL adalah platform untuk pengkarya muzik tempatan menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka dalam usaha mengangkat lagu terbaik pada setiap tahun.

"Muzik dan AJL sudah sebati sepanjang penganjurannya yang meraikan kepelbagaian genre muzik.

"AJL ialah acara tahunan gilang-gemilang yang dinantikan peminat muzik tempatan," katanya pada sesi 'Meet & Greet' Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan, Pengurusan Program dan Siaran TV3, Marlia Zul Amran.

Mengenai paling ikonik pula, kata Aizat, pada tahun ini, AJL38 bakal menjadi anugerah paling ikonik yang sentiasa hangat diperbualkan pada bila-bila masa.

Katanya, ia akan membuatkan peminat tegar mengimbau kembali kegemilangan AJL dan terus meraikan bakat muda yang berkolaborasi dengan penyanyi 'senior'.

 AINA turut meriahkan acara. FOTO Rohanis Shukri
AINA turut meriahkan acara. FOTO Rohanis Shukri

"Kami juga menjanjikan kelainan pada penganjuran edisi ke-38 yang berkonsep ekstravaganza itu.

"Persembahan pembukaan dan segmen 'interlude' yang bakal disajikan pada penonton nanti adalah yang terbaik.

"Paling ikonik bermaksud penonton akan kagum dengan pengisian persembahan yang ditampilkan nanti," katanya.

Mengulas dari segi bajet pula, kata Marlia, penganjuran AJL38 membabitkan kos yang agak besar.

Katanya, peruntukan bajet untuk menganjurkan edisi AJL38 lebih tinggi daripada sebelum ini.

"Kami bukan sengaja hendak berbelanja besar sebaliknya ia mengambil situasi semasa seperti kenaikan harga barang dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, kata Marlia lagi, AJL juga menggabungkan peminat dengan penyanyi kegemaran mereka yang menyaksikan evolusi AJL selama 38 tahun.

Katanya, peminat juga boleh memberi sokongan pada artis kegemaran mereka dengan membeli tiket untuk menyaksikan malam kemuncak AJL38 bermula 5 Februari lalu di laman web www.tonton.com.my. Harga tiket bermula dari RM68 (Aras 4), RM78 (Aras 3), RM 178 (Arena), RM 398 (Front Seat).

Katanya, jualan tiket sebelum ini khusus untuk pelanggan Tonton.

AIZAT bersama Marlia.FOTO Rohanis Shukri
AIZAT bersama Marlia.FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, sesi 'Meet & Greet' AJL38 di Pasar Seni turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan 12 finalis AJL38 yang turut beramah mesra dengan peminat.

Antara finalis yang hadir ialah penyanyi popular Aina Abdul, Ernie Zakri, Hael Husaini, Naqiu, Marsha Milan, Shiha Zikir, Ziana Zain, Hasif Upin, Wany Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar, Kugiran Masdo dan Amir Jahari.

AJL 38 menyaksikan 12 lagu bakal berentap untuk dinobatkan gelaran Juara Lagu, Tempat Kedua, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Penonton juga boleh mengundi untuk dua kategori iaitu Persembahan Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa pada malam AJL nanti.

AJL 38 dibawakan khas oleh Alha Alfa sebagai penaja utama dan Applecrumby sebagai penaja bersama.

Acara berprestij ini akan dihoskan pengacara popular Sherry Alhadad dan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim secara eksklusif hanya di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:11 AM