SPRM
SPRM

Jenayah kewangan menjadi antara isu di negara ini yang memerlukan pencegahan, pengawalan pembanterasan secara keseluruhan.

Pun begitu, masih ramai di antara kita yang tidak mengetahui peranan Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) yang bertanggungjawab menjadi perundangan pertama ke atas pelbagai kesalahan jenayah yang boleh disabitkan sebagai pengubahan wang haram.

Untuk Kafe Ahad minggu ini, wartawan MUHAAMAD HAFIS NAWAWI mendapatkan pengarahnya DATUK MOHAMAD ZAMRI ZAINUL ABIDIN yang berkongsi cabaran serta aspek siasatan dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Apakah kepentingan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001?

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah undang-undang yang memegang peranan penting dalam memerangi jenayah kewangan dan aktiviti yang berkaitan dengan pengubahan wang haram serta pembiayaan keganasan.

Sebelum itu, bagi memperkasa dan menghadapi pelbagai jenayah kewangan yang lebih mencabar, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan (NCC) berkenaan pengubahan wang haram pada April 2000.

Objektif NCC adalah merangka dan memastikan pelaksanaan polisi dan pencegahan pengubahan wang haram mengikut ketetapan standard antarabangsa.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan melantik Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak berkuasa berwibawa iaitu agensi utama yang bertanggungjawab terhadap AMLA.

AMLA juga perundangan pertama yang membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa dalam penguatkuasaan undang-undang dan menyenaraikan pelbagai kesalahan jenayah yang boleh disabitkan sebagai pengubahan wang haram.

Perundangan utama kepada SPRM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang adalah seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Acara Jenayah. iIa saling menyokong antara satu sama lain.

Walaupun kesalahan rasuah termaktub di bawah ASPRM, peruntukan AMLATFPUAA yang lebih luas dan mempunyai rangkaian strategik antara institusi kewangan dan agensi penguat kuasa dilihat mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

AMLATFPUAA berupaya membantu agensi penguat kuasa terutama dalam proses pengesanan, pembekuan dan lucut hak harta jenayah yang terbabit.

Apakah perbezaan dan kekuatan AMLATFPUAA berbanding Kanun Keseksaan?

Akta AMLATFPUAA merangkumi kesalahan yang berkait dengan jenayah pengubahan wang haram yang berlaku daripada aktiviti yang berkait dengan pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti jenayah termasuk jenayah dalam akta SPRM manakala Kanun Keseksaan adalah Akta memperincikan kesalahan berkaitan jenayah seperti mencuri, merogol, pecah amanah, tipu dan lain-lain.

Akta AMLATFPUAA memberikan lebih kuasa kepada pihak berkuasa dan pegawai penyiasat untuk mengarahkan institusi kewangan mengemukakan maklumat membabitkan seseorang suspek yang sedang dalam siasatan seperti maklumat perbankan, perintah pembekuan dan penyitaan akaun.

Selain itu, kesalahan di bawah AMLATFPUAA ini membawa kepada hukuman yang lebih berat. Sebagai contoh, jika seseorang yang disiasat di bawah kesalahan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA, jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Apakah bentuk kesalahan yang boleh disiasat di bawah akta tersebut?

Antara bentuk kesalahan yang boleh disiasat di bawah akta AMLATFPUAA 2001 adalah kesalahan berat yang ditafsirkan mana-mana kesalahan yang jatuh di bawah Jadual Kedua dalam akta AMLATFPUAA 2001 itu sendiri. Antara contoh kesalahan berat yang terdapat dalam jadual kedua adalah kesalahan menerima suapan, kesalahan menyeludup, melakukan kegiatan jenayah berunsur pengganas dan penculikan.

Namun mengikut Jadual Kedua di bawah akta AMLATFPUAA 2001, pihak SPRM boleh menyiasat berdasarkan siasatan predikat yang dinyatakan iaitu kesalahan seksyen 16,17,18, 19,20,21,22,23,26 dan 28 di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Bagaimana proses siasatan dilakukan sebelum seseorang individu itu boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah AMLA?

Untuk seseorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah akta AMLATFPUAA 2001, penyiasatan yang menyeluruh hendaklah dibuat oleh seseorang pegawai penyiasat yang telah dilantik berdasarkan di bawah Seksyen 30.

Seseorang pegawai penyiasat akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan atau maklumat dan juga berdasarkan transaksi yang mencurigakan yang dilaporkan.

Pegawai penyiasat hendaklah menunjukkan terdapat hasil daripada kesalahan berat yang dilakukan dan ia selalunya bermula daripada pembekuan harta-harta sehinggalah pertuduhan dibuat ke atas individu terbabit.

Siasatan AMLA perlu dijalankan secara menyeluruh ke atas proses pengubahan wang haram, setelah hasil aktiviti haram tersebut telah melalui 3 peringkat iaitu :

(i) kaedah penempatan iaitu dana haram dipisahkan daripada sumber haram dan dimasukkan ke sistem kewangan,

(ii) keduanya kaedah pelapisan iaitu proses pencucian wang yang membabitkan proses membuat pelbagai lapisan transaksi dan

(iii) ketiganya, integrasi iaitu peringkat akhir di mana hasil pencucian tersebut berjaya disatukan ke dalam ekonomi sebagai aktiviti yang sah.

Apakah cabaran dihadapi SPRM dalam melaksanakan akta berkenaan?

Antara cabaran yang dihadapi oleh pihak SPRM dalam melaksanakan akta ini adalah salah satunya iaitu pembuktian dokumen yang membabitkan transaksi kewangan ke luar negara, maka SPRM perlu mendapatkan kerjasama daripada pihak agensi penguatkuasa luar negara yang mana permohonan Mutual Legal Assistant (MLA) perlu dibuat melalui Pejabat Peguam Negara.

Proses ini sangat rumit dan memerlukan koordinasi banyak pihak sebelum pertuduhan boleh dibuat. Adakalanya, SPRM tidak berjaya mendapat kerjasama pihak luar negara atas sebab-sebab tertentu dan ini menjejaskan siasatan kes AMLA.

Selain itu, penyiasatan AMLA juga membabitkan analisis kewangan secara mendalam dan menyeluruh yang memerlukan bantuan daripada pihak institusi kewangan atau pelaburan yang berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia untuk memberikan maklumat kewangan pelanggan yang bersifat Private and Confidential.

Perkara ini kadang kala mengambil masa yang lama untuk disediakan dan tidak dapat dihebahkan kepada umum kerana ia membabitkan kerahsiaan siasatan serta hubungan diplomatik dengan negara yang terbabit.

Disebabkan ini, timbulnya salah faham dalam kalangan masyarakat, dan ada yang membangkitkan persepsi negatif seolah-olah SPRM sengaja melengahkan siasatan setengah-setengah kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:50 AM