Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SATU laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung berita palsu yang tular di media sosial mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Laporan polis itu dibuat pegawai SPRM kira-kira 10 pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM memandang serius perkara itu dan meminta polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang menyebarkan maklumat tidak sahih.

Menurutnya, dakwaan terbabit bukan saja mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej SPRM, tetapi boleh mengganggu proses pendakwaan.

Semalam, satu akaun Facebook yang menggunakan nama Cikgu Aming memuat naik laporan portal bertajuk 'SPRM sahkan skandal Jabatan Air Negeri Sabah tiada unsur rasuah'.

Susulan itu, SPRM mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan menganggap perkara itu mengelirukan masyarakat.

Tiga individu terbabit termasuk Pengarah JANS dan isterinya sudah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana kesalahan pengubahan wang haram pada 29 Disember lalu dengan sebutan semula kes pada 8 Ogos ini.

Ketiga-tiga tertuduh ialah Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya Fauziah Awang Piut, 51 dan Lim Lam Beng, 62.

Awang Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Isterinya, Fauziah dan Lam Beng masing-masing didakwa dengan 19 pertuduhan yang bernilai RM2.2 juta dan empat pertuduhan bernilai RM2.38 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.

Kesalahan mengikut AMLATFPUAA 2001 membabitkan hasil wang haram yang diperoleh daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah. Mengikut seksyen itu, seseorang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:21 PM