Kuala Lumpur: Pada 2007, Che Intan Mat Zain mendapati dirinya kerap terjatuh tanpa sebab setiap kali dia berjalan.

"Akak tak pergi hospital sebab rasa takut," katanya kepada Bernama melalui WhatsApp.

Sebaliknya, wanita berusia 62 tahun dari Pokok Sena, Kedah itu memilih berjumpa bomoh.

Sepanjang tiga tahun dia mendapatkan rawatan daripada bomoh, bahan diminta bagi mengubati penyakitnya - konon disebabkan oleh hantu bergayut di kakinya dan menyebabkan dia terjatuh - semakin lama semakin tidak masuk akal, dan belum lagi diambil kira kos mencanak.

Antara barang diminta bomoh kain kapan orang mati dibunuh hari Selasa dan jantung burung bulbul mati akibat patah hati. Jika dia tidak dapat mencari barang diperlukan, bomoh tersebut akan tawarkan kepadanya pada harga ribuan ringgit.

Lama-kelamaan dia tersedar.

"Pi (pergi) jumpa doktor sebab rasa ditipu dengan (bomoh) minta yang pelik," kata wanita yang mempunyai dua cucu.

Selepas berjumpa doktor, dia didiagnosis menghidap barah otak. Saiz tumor dalam otak menjadi begitu besar hingga menyebabkan dia mengalami strok dan kehilangan penglihatan serta pendengaran di sebelah kiri. Namun doktor memberitahunya dia bernasib baik kerana mungkin tidak dapat diselamatkan jika dia terlambat sedikit sahaja lagi dalam mendapatkan pembedahan dan rawatan.

Akan tetapi, semua itu berlaku selepas dia membelanjakan sekitar RM60,000 serta menjual rumahnya bagi membiayai kos rawatan dengan bomoh tersebut.

Kini, dia, suaminya serta anak lelaki berusia 16 tahun menumpang tinggal dengan ibunya berusia 86 tahun di sebuah rumah kecil satu bilik.

Berasa terpanggil untuk memberi amaran kepada orang lain, Che Intan berkongsi kisahnya dengan penghidap kanser menerusi kumpulan sokongan Cancer Survivors Malaysia (CSM). Pertubuhan ini menjalankan pelbagai program kesedaran di seluruh negara, dan Che Intan terlibat secara aktif sama ada dalam talian ataupun hadir secara fizikal.

Pengasas dan Presiden CSM Zuraini Kamal memberitahu Bernama yang beliau juga pernah terpedaya dengan janji manis diberi pengamal perubatan tradisional dan alternatif. Katanya, beliau membelanjakan hampir RM100,000 untuk rawatan tidak diiktiraf.

"(Dari) saat kita tahu kita kena kanser, kita (cuma fikir) kita nak hidup. Apa sahaja orang (pengamal perubatan alternatif) jual, orang suruh kita makan, kita makan," katanya. Beliau kini bebas kanser.

Tegas Zuraini, amat penting untuk masyarakat melindungi pesakit daripada pengamal perubatan tradisional dan alternatif yang bersikap menangguk di air keruh.

Di Malaysia, ada undang-undang khusus melindungi orang awam daripada salah amalan perawat perubatan tradisional dan alternatif iaitu Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 yang dikuat kuasa dalam tiga fasa sejak 1 Ogos 2016.

Menerusi akta itu, Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari ditubuh bagi mendaftar pengamal, menggubal standard amalan serta kelayakan, selain mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan seperti tidak mendaftar dengan majlis itu.

Kesalahan boleh didakwa di mahkamah membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda RM30,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan penjara hingga tiga tahun serta denda RM50,000 untuk kesalahan berikutnya.

Namun kata pakar, undang-undang hanya berkesan jika dimanfaatkan orang ramai dan pihak berkuasa. Di Malaysia, perubatan tradisional, komplementari dan alternatif adalah kaedah rawatan popular dan diiktiraf sebagai cabang perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Setakat 2015, ada 13,846 pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) berdaftar di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari.

Di peringkat global, pasaran penokok diet merekodkan nilai US$156.89 bilion pada 2022, dan dijangka mencecah US$339.89 bilion menjelang 2032, demikian menurut analisis firma penyelidikan pasaran berpangkalan di Kanada, Emergen Research yang diterbitkan pada 30 November 2023.

Pakar kesihatan mengiktiraf PT&K berdasarkan pendekatan menyeluruh cabang perubatan itu dalam mempromosi kesihatan, mencegah penyakit serta membantu individu merawat gangguan kesihatan dengan mengawal aspek fizikal, emosi dan mental serta persekitaran hidup mereka.

Bagaimanapun PT&K tidak harus menggantikan rawatan perubatan konvensional, kata Dr Cecilliann Veronica daripada SOL Integrative Wellness Centre yang menawarkan rawatan komplementari kepada pesakit kanser.

Kata pengamal perubatan fungsian itu, tujuan mereka membantu dan menambah baik fungsi tubuh manusia dengan menggemblengkan perubatan konvensional serta PT&K.

"Ada pesakit menjalani rawatan konvensional seperti kemoterapi, radioterapi namun pada masa sama mereka melakukan perkara lain bagi menyokong sistem tubuh, terutama sistem imun, selain bagi menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Di sinilah saya memainkan peranan sebagai perawat, iaitu mendidik mereka.

"Perlu ada (soalan) 'Apa lagi (yang boleh dilakukan)' selepas tahap akut (seperti membuang tumor)," tambahnya.

Kata beliau, terapi ditawarkan mereka berdasarkan bukti dan menumpukan pada keseluruhan tubuh dengan membantu dari segi perubahan pemakanan dan gaya hidup seperti pengurusan stres, agar penghidap kanser dapat menjalani kehidupan secara sihat.

Stres contohnya, mungkin ada kesan tidak langsung terhadap kanser dengan cara menghalang proses dipanggil anoikis, iaitu satu keadaan di mana sel berpenyakit mati dan mencegah sel terbabit daripada merebak, kata Dr Anil K Sood daripada MD Anderson Cancer Centre, University of Texas.

Pakar berkata, yang menjadi masalah apabila pengamal PT&K, sama ada berdaftar atau tidak menawarkan produk mereka sebagai cara menyembuhkan atau mencegah kanser serta penyakit lain tanpa bukti.

Pakar berpendapat satu daripada sebab pesakit mudah diperdaya pengamal PT&K yang menipu ialah perbezaan di antara perubatan konvensional dan PT&K sukar difahami.

Dari satu segi, doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal dituntut oleh undang-undang dan juga kod etika agar tidak keterlaluan dalam janji mereka atau mengelirukan pesakit.

"Kami elak guna perkataan 'sembuh' kerana sekalipun di tahap satu atau dua (rawatan) yang bertujuan menyembuhkan, pesakit mungkin relaps dan kembali dirawat, jadi kami amat berhati-hati tentang penggunaan perkataan sembuh," kata Dr Astrid Sinarti Hassan, pakar etika perubatan yang turut berkepakaran dalam bidang onkologi.

Di bawah Akta PT&K, pengamal perubatan dilarang menjanjikan kesembuhan penyakit seperti kanser. Mereka diwajibkan menjalani latihan berkaitan di pusat pengajian yang diiktiraf KKM.

Namun pada masa ini, syarat tersebut tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Sekalipun peraturan dan piawaian bagi produk PT&K dialu-alukan, aspek itu tidak setanding syarat perlu dipatuhi doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal.

Pengajian dan latihan perubatan mengambil masa bertahun-tahun, dan untuk menjadi pakar pula mengambil masa lebih lama. Sepanjang kerjaya, mereka dituntut menyambung pengajian dan sentiasa melengkapi diri dengan penemuan perubatan terkini.

Bagi syarikat farmaseutikal pula, organisasi itu perlu melepasi ujian ketat, melalui pelbagai fasa bermula dari piring petri hinggalah kepada ujian ke atas haiwan dan manusia dengan memperoleh keputusan konsisten sebelum mendapatkan kelulusan untuk dipasarkan. Keseluruhan proses mengambil masa bertahun-tahun dan berterusan sekalipun selepas mendapat kelulusan.

Pengamal dan produk PT&K tidak begitu terikat atau dikawal selia sepertimana doktor dan syarikat farmaseutikal.

Latihan bagi perawat PT&K biasanya mengambil masa singkat dan rawatan serta terapi PT&K melalui proses yang tidak begitu ketat. Kajian ke atas herba popular dalam rawatan kanser mungkin menemukan manfaat melawan kanser namun lazimnya kajian dilakukan di makmal tanpa melibatkan ujian terhadap manusia.

"Hanya ada (sejumlah kecil) kajian keberkesanan ke atas penokok diet dan terapi dan mereka jarang dikenakan hukuman," kata Dr Hafizah Zaharah Ahmad, pakar perunding onkologi daripada Sunway Medical Centre Velocity.

Pakar bersetuju pengamal PT&K yang menipu terlepas daripada tindakan disebabkan ketiadaan penguatkuasaan dan undang-undang. Akan tetapi, keadaan itu mungkin berpunca daripada pesakit sendiri.

"Pesakit percaya kepada mereka kerana apabila bercakap tentang perubatan tradisional dan alternatif, ia jalan keluar paling mudah," kata Dr Astrid yang merupakan pensyarah perubatan di Universiti Teknologi Mara.

Sehubungan itu, kata beliau, amat penting bagi pesakit mendidik diri, keluarga serta rakan.

Dr Astrid berkata, penting bagi pesakit mengetahui hak mereka di bawah undang-undang.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu memupuk budaya melaporkan pelanggaran undang-undang sama ada melibatkan pengamal PT&K atau pihak lain. Beliau berkata, keseluruhan masyarakat akan mendapat manfaat jika ahli masyarakat, khususnya mangsa sedia membuat laporan tentang pengamal perubatan tidak jujur.

"Sekalipun KKM ada kuasa menutup operasi (pengamal perubatan tidak jujur) adakala mereka terlepas kerana sangat sedikit yang buat aduan," katanya.

"Jika mereka fikir, mereka tidak akan tertangkap, maka mereka teruskan kegiatan mereka itu," kata peguam PS Ranjan yang juga pakar etika perubatan.

Ranjan berkata, bidang medico-legal masih kecil di Malaysia, namun beliau menjangka bilangan akan bertambah apabila kesedaran masyarakat meningkat.

Kedua-dua pakar itu mengingatkan pesakit agar mendapatkan rawatan daripada pengamal berdaftar jika memilih PT&K untuk keperluan kesihatan mereka.

Dalam pada itu, Zuraini tertanya-tanya sama ada beliau masih boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan yang menipu dan tidak berdaftar kerana kes beliau itu berlaku sebelum penguatkuasaan Akta PT&K.

Meskipun begitu, beliau berikrar memberitahu semua ahli CSM dan pesakit kanser tentang hak mereka di bawah undang-undang. Dalam kalangan 30,000 lebih ahli CSM, empat daripada lima orang mendapatkan rawatan tradisional dan alternatif.

"Saya lakukan ini kerana saya pernah jadi mangsa," kata Zuraini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 8:05 AM