TINJAUAN penjualan ubat ubat tradisional cina disekitar Kuala Lumpur berikutan pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar. FOTO Hazreen Mohamad
TINJAUAN penjualan ubat ubat tradisional cina disekitar Kuala Lumpur berikutan pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar. FOTO Hazreen Mohamad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengamal perubatan tradisional dan komplimentari (PT&K) yang mengutip cukai perkhidmatan sejak 2018 dikehendaki menyerahkan semula kutipan itu kepada kerajaan, kata Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, bagi pengamal PT&K yang tidak mengutip cukai pula mereka perlu mengisytiharkan perkara itu kepada Jabatan Kastam.

"Sekiranya anda mengutip daripada pesakit anda (cukai perkhidmatan), ia perlu diserahkan kepada kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Program Geran KL Kreatif dan Cabaran Bandar di sini, semalam.

Beliau berkata, sejak 2018 pengamal perubatan PT&K termasuk dalam kategori perkhidmatan bercukai berikutan mereka yang memperoleh hasil RM500,000 setahun perlu berdaftar serta membayar cukai yang ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa pengamal perubatan PT&K yang berdaftar di bawah Akta PT&K 2016 [Akta 775] akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan lapan peratus.

Beliau berkata, selagi pengamal PT&K berdaftar dengan akta di bawah Kementerian Kesihatan, mereka akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan itu yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.

Selaras dengan keputusan itu, pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta itu tidak perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam dan seterusnya tidak perlu mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan berikut: perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homoeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 9:31 AM