NADIYA Nisaa harap syarikat produksi tetapkan waktu kerja sesuai termasuk kepada kru belakang tabir. - FOTO Aziah Azmee
NADIYA Nisaa harap syarikat produksi tetapkan waktu kerja sesuai termasuk kepada kru belakang tabir. - FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ia sering dikaitkan dengan anak yang mengikut jejak langkah ibu bapa dalam kerjaya. Begitulah juga pembabitan 'anak-beranak' dalam karier seni.

Bagi pelakon, Nadiya Nisaa, 39, kalau boleh dia tidak mahu anaknya menceburi seni kerana menyifatkan persekitaran di lokasi penggambaran tidak sihat sehingga mudah jatuh sakit, walaupun pada usia muda.

"Pembabitan dalam karier seni terutama lakonan memerlukan komitmen tinggi. Nampak macam mudah saja berlakon, tapi banyak masa sebenarnya yang dihabiskan di lokasi penggambaran demi kerja.

"Selama aktif berlakon, saya dapati ramai pelakon senior yang jatuh sakit kerana kehidupan tidak seimbang. Ia kerana, pemakanan tidak dijaga dengan mengambil minuman berkafein dan merokok.

"Benda itu tidak sihat, tapi diambil juga sebab terpaksa nak kejar masa bekerja. Ditambah lagi, dengan faktor cuaca yang sekejap sejuk, sekejap panas, buat sesiapa saja mudah jatuh sakit.

"Malah, yang tak disangkakan apabila ada kru produksi berusia 40 tahun sudah terkena serangan jantung kerana kurang berehat dan bekerja lebih masa," katanya pernah terfikir mahu berhenti berlakon sebelum ini.

Mengulas isu waktu bekerja, Nadiya berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat produksi menetapkan waktu kerja yang lebih bersesuaian untuk pelakon dan juga kru belakang tabir.

"Bagi saya, sekarang sudah tidak relevan untuk bekerja terlalu lama di lokasi penggambaran seperti dari pagi hari ini sehingga ke pagi hari esoknya, sehari semalam. Rehat sangat perlu untuk badan.

"Jadi, sistem bekerja lebih teratur dan produktif amat perlu walaupun kerja sebagai penggiat seni ini untuk menghasilkan karya hiburan buat tatapan masyarakat," katanya mengaku selesa menjalani penggambaran mengikut waktu pejabat.

Baru-baru ini, Nadiya bersama dua sahabat baiknya, pelakon Siti Saleha dan Nadia Aqilah muncul membintangi Tonton Original Series, SeOfis arahan Faizul Jais yang disiarkan di platform Tonton sebanyak 12 episod.

BARISAN pelakon dan tenaga kerja drama Tonton Original Series, SeOfis bergambar selepas majlis sidang media di Worq KL Sentral baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee
BARISAN pelakon dan tenaga kerja drama Tonton Original Series, SeOfis bergambar selepas majlis sidang media di Worq KL Sentral baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee

Drama yang difahamkan mengangkat kisah dilema wanita berkerjaya ini diterbitkan Parallax Pictures, dengan skrip ditulis bersama oleh Nadia Khan dan Mamu Vies.

Barisan pelakon lain pula ialah Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Anas Ridzuan, Malia, Ikhwan Lein, Kimberly Chuah, Hafidzuddin Fazil dan ramai lagi.

Hormati pelakon cilik

Pernah membintangi drama Jaga Aku Selamanya yang disiarkan TV3 tahun lalu, Nadiya berkata, dia kagum dengan komitmen diberikan pelakon cilik sebagai bakat pelapis industri hiburan tanah air.

"Saya sentiasa berbesar hati apabila dapat peluang berlakon dengan pelakon cilik yang bakat mereka terbaik. Komitmen diberikan juga harus dipuji kerana amat bersungguh-sungguh.

"Bukan saja pada pelakon cilik itu tetapi ibu bapa mereka yang setia menemani anak masing-masing di lokasi penggambaran juga membuatkan saya amat menghormatinya kerana sokongan diberikan," katanya.

Nadiya berkata, dia juga melihat pelakon-pelakon cilik itu amat menghormati orang lebih tua yang membuatnya bangga dengan didikan sudah diberikan ibu bapa kanak-kanak terbabit.

"Apapun, saya tiada masalah berlakon dengan siapa saja. Bagi saya, kerja lakonan ini secara berpasukan dan membabitkan ramai orang. Jadi, kejayaan sesebuah karya lakonan itu bukan terletak pada satu pihak, tapi semua.

"Setakat ini, saya gembira dengan setiap watak diterima dan cuba mempersembahkannya sebaik mungkin. Malah, pasukan kerja yang bersama saya juga tidak kurang hebatnya dan sangat membantu," katanya.

Nadiya atau Nadiyatul Nisaa Kamaruddin difahamkan mula aktif berlakon sejak 2004. Dalam tempoh dua dekad ini, dia juga sudah membuktikan bakatnya dengan pernah meraih trofi Pelakon Terbaik untuk drama dan filem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 6:00 AM