NADIYA bersemangat dapat berlakon dalam Sa Balik Baju yang mengetengahkan isu kehidupan kaum hawa.
NADIYA bersemangat dapat berlakon dalam Sa Balik Baju yang mengetengahkan isu kehidupan kaum hawa.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA pelakon, Nadiya Nisaa tidak perlu lagi diperkenalkan. Sebut sahaja namanya, ramai sedia maklum kemampuan skil lakonannya yang sentiasa mencuri perhatian dan meyakinkan.

Beri apa sahaja watak kepada figura ini, tentunya dia akan membawakannya dengan cara tersendiri bagi 'menghidupkan' watak itu.

Romantik, lucu, bahkan watak beremosi, semuanya mampu dibawakan olehnya. Terbaharu, Nadiya membintangi filem Sa Balik Baju yang ditayangkan di Netflix.

Nadiya yang ditemu bual baru-baru ini begitu bersemangat berkongsi pengalaman dan rasa bangganya apabila dapat bekerja dalam satu produksi yang mengangkat kuasa wanita.

"Saya sebenarnya ingin menyatakan rasa bangga apabila karya Sa Balik Baju ini menampilkan enam kisah yang ditulis oleh wanita, diarahkan oleh wanita dan diterbitkan syarikat produksi yang sentiasa mengangkat kisah wanita iaitu Red Communications.

"Mereka sentiasa mengetengahkan isu serta menyokong kisah di sebalik kehidupan wanita dan dibawa kepada masyarakat," katanya.

Berkongsi pengalaman dan perbezaan yang dirasakannya apabila berlakon dalam karya Sa Balik Baju kali ini adalah wanita lebih memahami kisah wanita.

"Ini umpama satu peluang berharga buat saya. Saya pernah berlakon sebagai watak utama, namun kebanyakan karya itu diarahkan oleh pengarah lelaki.

"Benar, memang ada ruang untuk perbincangan untuk saya dan pengarah bertukar pendapat. Namun, ada beberapa perkara yang lelaki takkan faham kerana mereka tak melaluinya sendiri.

"Apabila bekerja dengan pengarah wanita, sudut pandang dan perspektif mereka berbeza. Sangat berbeza. Mereka lebih teliti kerana mereka faham apa yang dimahukan dalam watak wanita yang saya lakonkan itu," katanya.

Nadiya berharap supaya lebih ramai lagi karyawan wanita diberi peluang untuk menghasilkan karya kreatif sebegini.

"Sentuhan wanita itu berbeza dan dapat dirasakan lebih-lebih lagi dalam menterjemahkan watak kisah wanita. Jadi, saya nak tekankan di sini supaya lebih ramai lagi karyawan wanita diberi peluang untuk berkarya," katanya.

NADIYA ajak karyawan serta anak seni beri tumpuan kepada penerimaan penonton.
NADIYA ajak karyawan serta anak seni beri tumpuan kepada penerimaan penonton.

Tambahnya, bukan sahaja di Malaysia, bahkan ramai karyawan dari seluruh dunia yang mula memberi perhatian kepada karya yang mengangkat kisah wanita.

"Saya rasa filem di seluruh dunia pun pada ketika ini mengangkat kisah wanita, contohnya filem Nomadland. Contoh terdekat adalah karya dari negara jiran kita, Indonesia yang berjudul Yuni yang menang di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2021," katanya.

Filem Sa Balik Baju mencuri perhatian ramai sejak ia mula ditayangkan. Kebanyakan memuji dan memberi kritikan positif di media sosial mengenai jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.

"Mungkin penayangan Sa Balik Baju bertepatan dengan waktu dan ketika ini di mana isu mengenai wanita sedang hangat diperkatakan.

"Seperti yang kita lihat di media sosial, banyak isu semasa membabitkan wanita antaranya gangguan seksual, maruah dan aib wanita yang dipandang remeh, namun menjadi isu besar," katanya.

Menurutnya, anak seni juga memegang tanggungjawab sosial dalam membantu menangani isu sebegini.

"Isu perlecehan kepada wanita ini sebenarnya menjadi tanggungjawab kita bersama termasuk anak seni. Saya rasa kita sebagai anak seni menggalas tanggungjawab untuk memaparkan mesej menerusi karya kita.

"Segala yang membabitkan penyiaran karya tidak kira komedi, filem, drama, program bual bicara atau apa sekalipun, penting untuk kita sentiasa meneliti setiap apa yang disajikan kepada penonton.

"Media sosial hari ini sangat pantas. Perjalanan dan capaiannya di hujung jari dan sama ada mesej positif mahupun mesej negatif yang wujud akan cepat 'ditangkap' dan disebarkan," katanya.

Dalam pada berkarya, Nadiya juga mengajak karyawan serta anak seni untuk memberi tumpuan kepada penerimaan penonton.

"Kita kena sentiasa ingin penonton yang ada di telefon pintar. Maksud saya, kalau sebelum ini penonton kita menonton dari kaca TV, pawagam dan sebagainya.

"Namun, sekarang semuanya sudah berubah dan setiap individu yang menonton boleh menonton terus dari telefon pintar.

"Fikirkan dengan mendalam, karya bagaimana yang ingin kita pertontonkan dan mereka akan boleh memberikan maklum balas secara terus dengan adanya teknologi di hujung jari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:00 AM