AMIRUL Aizat (kanan) dan kakaknya, Haizatul Izzatti sebelum menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang.
AMIRUL Aizat (kanan) dan kakaknya, Haizatul Izzatti sebelum menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu penyakit buah pinggang yang dikesan ketika saya sedang berjuang mencapai cita-cita menjadi peguam terkubur begitu saja biarpun hakikatnya sangat menyedihkan.

"Saya kuatkan semangat dan tetap meneruskan perjuangan sebagai penuntut universiti sambil menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sejak hampir tiga tahun," kata bekas pesakit buah pinggang Amirul Aizat Ridzuan.

Amirul Aizat, 24, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) diuji penyakit berkenaan pada 2020 iaitu tahun kedua pengajiannya dan sejak itu dia menjalani dialisis kerana buah pinggangnya gagal berfungsi.

Pemuda asal Kampung Parit Tahir, Parit Buntar di Perak itu mula menyedari perubahan pada dirinya apabila cepat letih, mudah pitam dan penglihatannya terjejas sebelum dia membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

"Ketika itu saya sedang cuti semester keempat dan ketika itu memang sedih terutama apabila penyakit itu sudah berada di tahap akhir dan memerlukan rawatan dialisis yang mana setiap rawatan mengambil masa empat jam.

"Saya bernasib baik kerana ketika itu negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi kelas secara atas talian memudahkan saya untuk meneruskan pengajian.

"Tetapi keadaan menjadi lebih mencabar apabila perlu kembali ke kampus di Nilai, Negeri Sembilan kerana kelas sudah bermula secara fizikal selepas pandemik Covid-19," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, cabaran pesakit menjalani dialisis ialah badan cepat letih dan lemah selepas menjalani rawatan itu selain mengakui ia menyukarkannya untuk fokus ketika dalam kelas.

"Ketika kembali ke kampus saya menjalani rawatan di Negeri Sembilan dan setiap kali pergi dialisis saya akan segera ke kelas tetapi kalau masa bertembung dengan kelas saya terpaksa meminta pelepasan bersyarat daripada pensyarah.

"Badan lemah memang perkara biasa selepas dialisis dan saya biasanya memandu sendiri ke kelas selepas itu tetapi kalau terlalu pening atau tidak larat saya akan minta bantuan rakan datang ambil di pusat rawatan," katanya yang kini menjalani latihan praktikal di sebuah mahkamah di Parit Buntar.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali tertidur di dalam kelas kerana letih selepas menjalani dialisis, namun rakan sentiasa membantu dan akan mengejutkannya kembali.

"Kalau tak datang kelas saya tanya rakan apa yang mereka belajar dan kalau saya terlalu penat di dalam kelas, saya akan rakam kuliah pensyarah kerana kadang-kadang tak boleh fokus dan pergi kelas dengan muka yang pucat.

"Saya buat seperti itu kerana tidak mahu ketinggalan kuliah dan kelas kerana saya mahu menamatkan pengajian mengikut tempoh serta bersama rakan," katanya.

Katanya, perjuangan itu memang tidak mudah tetapi dia tetap nekad melalui sokongan keluarga, rakan dan pensyarah serta pihak Usim yang disifatkan banyak membantu sepanjang dia berjuang menjalani rawatan dialisis.

"Saya terpaksa menangguhkan pengajian satu semester kerana menjalani rawatan pemindahan buah pinggang yang didermakan kakak (Haizatul Izzatti, 26). Biarpun tidak dapat bergraduasi dengan rakan tetapi saya bersyukur dapat menjalani pembedahan.

"Pembedahan April lalu sangat membantu saya mendapatkan kehidupan yang lebih baik tidak seperti tiga tahun lalu dan perjuangan selama ini berakhir baik. Ia lebih memberi semangat kepada saya untuk bergelar peguam," katanya.

PELAJAR UITM yang menghidap kanser limfoma dan talasemia, Yassin Mohd Zairi, 22, dan Nurakidah Khafiz, 25, yang menghidap darah tinggi di kampus UITM Shah Alam.
PELAJAR UITM yang menghidap kanser limfoma dan talasemia, Yassin Mohd Zairi, 22, dan Nurakidah Khafiz, 25, yang menghidap darah tinggi di kampus UITM Shah Alam.

Yassin lega kembali semula ke 'medan' kuliah

Shah Alam: Pengalaman menjalani rawatan kanser limfoma tahap tiga selama lebih setahun lalu mendidik pejuang kanser ini untuk positif dan cekal menamatkan pengajian yang masih berbaki dua semester bagi menggenggam segulung ijazah.

Yassin Mohd Zairi, 22, didiagnosis penyakit itu sejak Jun tahun lalu dan selesai menjalani rawatan kemoterapi selepas terpaksa menangguhkan pengajian namun kini dia kembali ke 'medan' kuliah dengan semangat baru.

Dia berkata, dia sepatutnya menjalani latihan industri bersama rakan sekelas, namun ujian getir itu memaksanya mengulang semester pengajian tetapi mengakui menamatkan pengajian adalah misi utamanya ketika ini.

"Mengimbas kembali ketika disahkan menghidap kanser itu memang membuatkan saya takut terutama apabila memikirkan mengenai mati biarpun semua yang bernyawa pasti akan pergi juga suatu hari nanti.

"Tetapi saya fikir kanser bukanlah penamat kehidupan dan saya perlu berjuang melawan penyakit ini apatah lagi dapat sokongan keluarga terutama ibu bapa (Basitah Taif, 50, dan Mohd Zairi Md Isa, 50) serta rakan. Saya tekad habiskan rawatan biarpun perjalanannya tidak mudah," katanya bersyukur UiTM juga banyak memberi sokongan kepadanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu berkata, dia mula menyedari perubahan pada dirinya apabila badannya terasa lemah, tidak bermaya ke kelas selain ada benjolan di leher.

Katanya, keadaan itu dirasai selama tiga minggu sebelum dia ke hospital untuk pemeriksaan, namun mengakui sudah berasa tidak sedap hati namun reda dengan semua kemungkinan.

Menurutnya, lebih mencabar bukan saja disahkan kanser, doktor juga dimaklumkan dia sebagai pembawa Talasemia.

"Kekuatan saya juga datang daripada kakak (Shafira, 24) yang juga penuntut Universiti Malaya (UM) dan pesakit diabetik kronik sejak kecil yang memerlukan dia memakai pam insulin setiap masa tetapi tetap cekal meneruskan pengajian.

"Sebelum ini saya kerap juga nak muntah termasuk ketika di kelas, malah ubat (tahan muntah) sentiasa ada dalam beg. Alhamdulillah sekarang sel kanser sudah tiada tetapi tetap memerlukan pemantauan dan pemeriksaan tiga minggu sekali.

"Saya bersyukur rawatan mengambil masa setahun kerana saya ingatkan dalam dua tahun dan bersyukur dapat melalui dengan baik. Saya berharap ia tidak berulang serta pengajian akan diteruskan hingga garisan penamat," katanya.

Sementara itu, pesakit darah tinggi kronik, Nurakidah Khafiz, 25, berkata, dia perlu mengawal pemakanan dan masa tidur untuk menjaga tekanan darahnya namun mengakui sebagai pelajar ia agak sukar kerana perlu mengulangkaji hingga awal pagi.

Katanya, dia kini bergantung dengan ubat darah tinggi setiap hari dan menjaga emosi harian untuk kekal ceria supaya tidak mengalami tekanan kerana ia boleh mempengaruhi bacaan darahnya.

"Sejarah keluarga memang ada penyakit ini dan setiap kali bangun pagi kepala saya akan pening sebab itu saya akan cuba tidur pada jam 11 malam tetapi kadang-kadang terpaksa juga tidur lambat sehingga jam 1 hingga 2 pagi untuk belajar.

"Cabaran ketika berada di kampus adalah makanan kerana saya sepatutnya perlu mengambil makanan yang lebih sihat tetapi biasalah ia agak sukar di sini, " kata penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal (Kepujian) di UiTM Shah Alam itu yang bacaan darahnya 140/150.


UiTM permudah urusan penuntut sakit kronik

Shah Alam: Penuntut universiti yang diuji dengan penyakit kronik sentiasa mendapat sokongan dan bantuan untuk menjalani rawatan dalam tempoh diperlukan.

Jurucakap Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, setiap institusi pendidikan termasuk UiTM mempunyai budi bicara bagi memudahkan urusan penuntut yang mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan rawatan lanjut.

"Penuntut layak dan dibenarkan mengambil cuti khas atas sebab kesihatan serta individu terbabit tidak perlu membayar yuran pengajian maksimum selama dua semester dan mereka juga dibenarkan membuat penangguhan sehingga penyakit dihidapi sembuh.

"Selain itu, polisi pengajian penuntut kategori orang kurang upaya (OKU) dilaksanakan jika individu terbabit menghadapi kekurangan secara fizikal atau OKU selepas sembuh yang mana ia membenarkan pengajian secara fleksibel mengikut kemampuan individu itu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya juga menyediakan bantuan kewangan yang akan disalurkan kepada penuntut yang layak dan memerlukan selain insuran kesihatan.

"Bantuan Tabung Kecemasan Pelajar akan diberikan melalui permohonan yang dibuat oleh penuntut di sistem ekebajikan. Penilaian kadar bantuan bergantung pada laporan perubatan yang disertakan individu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 7:00 AM