AINA Abdul janji untuk teruskan kerja keras demi kelangsungan karier seni.
AINA Abdul janji untuk teruskan kerja keras demi kelangsungan karier seni.
Najiy Jefri

PERJALANAN kerjaya penyanyi terkenal Aina Abdul sepanjang tahun 2023 boleh dikira cukup cemerlang.

Bakat figura yang dikenali ramai menerusi lagu Sumpah itu terus mekar mewangi selain meraih pelbagai kejayaan baharu tanpa disangka.

Mengimbas kembali perjalanan pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani sepanjang 2023, pelbagai memori manis dilakar bermula dengan kejayaan lagu ciptaannya, Terus Hidup yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 pada Februari lalu.

Sejak itu populariti wanita berusia 30 tahun ini terus melonjak naik sehingga berjaya menggenggam dua trofi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom pada Anugerah Bintang Popular BH yang berlangsung pada 21 Julai lalu.

Tidak terhenti di situ, Aina kemudian melancarkan pula album sulungnya bertajuk Imaji yang memuatkan 14 lagu hasil ciptaannya.

Perjalanan seninya tidak hanya mewangi di tanah air semata-mata, malah nama Aina mengharum di Korea Selatan apabila dipilih mewakili negara beraksi di pentas global ABU TV Song Festival 2023 yang disifatkan sebagai satu pencapaian terbaik dalam karier seninya.

Sebagai penutup tahun yang cukup indah, Aina berjaya merealisasikan impian mengadakan konsert Aina Abdul 3.0 berskala mega di Axiata Arena yang berjaya menghimpunkan hampir 11,000 peminat selain kejayaan lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu yang menempa tiket ke peringkat Anugerah Juara Lagu ke-38 pada Mac ini.

Jika 2023 yang melabuhkan tirai semalam menjadi satu kenangan indah buat dirinya, kehadiran 2024 yang baru menjengah pula bakal menyusun sebuah lagi lakaran penuh bersinar dalam kehidupan dan karier seninya.

Kata anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu, 2024 menyusun pelbagai mimpi-mimpi baharu yang ingin direalisasikan bersama pasukannya, Aina Abdul Entertainment.

"Tahun 2023 saya dihujani rezeki yang tidak disangka-sangka dan setiap rezeki itu cukup bernilai dan besar maknanya untuk diri saya.

"Insha-Allah tahun 2024 saya mempunyai banyak mimpi-mimpi baharu yang ingin saya tunaikan. Antaranya adalah saya nak berjumpa dengan lebih ramai peminat Aina Abdul.

"Selama ini mungkin kita tidak berpeluang bertemu tapi tahun 2024 saya sudah cakap kepada diri untuk menjelajah ke beberapa lokasi dan membuat persembahan.

"Saya bercadang untuk mengadakan lebih banyak persembahan di luar dan bertemu peminat yang mungkin selama ini berharap saya datang ke tempat mereka," katanya.

Siapa sangka permulaan tahun 2024 sudah merealisasikan satu impian itu apabila Aina bakal bertemu peminat di Singapura selepas diundang membuat konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore di The Theatre at Mediacorp, Sabtu ini.

Konsert itu turut mencipta satu lagi kejayaan baharu buat dirinya apabila menjadi konsert pertamanya di luar negara.

"Inilah salah satu mimpi yang saya maksudkan. Syukur impian bertemu peminat di Singapura bakal menjadi kenyataan.

"Rasa tak sabar untuk melihat gelagat dan telatah mereka nanti. Saya harap mereka akan terhibur dengan persembahan yang dibawakan nanti," katanya.

Menyentuh mengenai konsert di Singapura, Aina memberitahu, persembahannya akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew.

"Untuk susunan muzik masih menggunakan pengarah muzik sama, Mac Chew kerana mereka sudah mengenali cita rasa saya. Sudah tentu ada banyak elemen kejutan di Singapura nanti.

"Mac Chew akan menggunakan formula agak berbeza, di mana ada lagu yang belum pernah saya nyanyikan akan dipersembahkan buat peminat di sana.

"Namun, dari sudut susunan muzik, saya tidak letakkan konsert di Singapura akan lebih baik, tapi setiap kali buat konsert atau persembahan, saya akan letak standard kerana percaya peminat mahu yang terbaik.

"Walaupun lagu tak sebanyak konsert di sini, tapi tetap yang terbaik. Jumlah lagu bukan nilainya, tapi apa yang penting pengisiannya," katanya.

Mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia tiada langsung istilah rehat apatah lagi bersenang-senang menikmati hari seperti insan lain.

Bagaimanapun Aina berkata dia seronok melalui hari yang penuh sibuk kerana ia menandakan dirinya masih diperlukan dan perlu bekerja lebih kuat.

"Jujur memang penat jadi seorang Aina Abdul. Tapi inilah jalan yang saya pilih.

"Ada amanah yang perlu saya tunaikan kepada peminat yang sentiasa mengharapkan sesuatu yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 6:00 AM