MANBAI dan Rahim bakal beraksi dalam Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof di MaTic Jalan Ampang, Sabtu ini. FOTO Mahzir Mat Isa
MANBAI dan Rahim bakal beraksi dalam Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof di MaTic Jalan Ampang, Sabtu ini. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman


BERGELAR ‘otai’ bukan membuatkan seseorang artis boleh berada di landasan selesa. Apatah lagi permainan populariti sukar dijangka kerana ia ibarat roda berputar yang kadang-kadang di atas dan ada ketika di bawah.

Perjuangan dua sahabat, Man Bai dan Rahim Maarof yang mengambil langkah berani menganjurkan persembahan sendiri bagi meneruskan kelangsungan mereka dalam industri muzik tanah air wajar dipuji.

Dua nama ini tidak perlu diperkenalkan kerana sudah mengecapi kegemilangan sebagai penyanyi sekitar 1980-an hingga 1990-an.

Rahim, 63, terlebih dulu mencipta populariti sebagai penyanyi solo dan band rock Whitesteel.

Keputusan bergerak solo selepas itu ternyata membuah­kan hasil apabila namanya terus mengharum dalam kalangan peminat.

Man Bai, 51, pula melang­kah dalam industri muzik bersama kumpulan Gersang sebelum mengambil keputusan bergerak solo sehingga kini.

Kini, mereka bergabung menjayakan Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof yang akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Man ketika ditemu bual RAP berkata, idea bagi mengadakan persembahan berdua mula tercetus sebagai tanda menguji pasaran (test market) untuk mengukur populariti mereka dalam kalangan peminat.

“Persembahan pertama kami berlangsung dalam skala kecil di sebuah kelab jaz. Sambutan penuh dengan kehadiran peminat sekitar 120 orang.

“Kami nak tengok ada tak peminat nak dengar lagu saya dan Rahim. Rupanya kami masih ada peminat. Dari situ, saya mengajak Rahim untuk membuat persembahan dalam skala lebih besar dan dia bersetuju.

“Lokasi di MaTiC boleh memuatkan 400 orang. Tapi ia dikira satu momentum yang baik bagi kami berdua untuk terus maju ke hadapan. Setakat ini alhamdulillah penjualan tiket menggalakkan,” katanya.

Menurut Man, dalam persembahan sebelum ini dia teruja kerana mereka hanya menyanyikan beberapa rangkap lagu dan selebihnya ‘dihabiskan’ peminat.

“Tanpa perlu disuruh pun, mereka akan menyanyi bersama kami. Ini membakar semangat kami untuk buat persembahan berikutnya di lokasi lebih besar yang boleh memuatkan ramai peminat.

“Rahim masih aktif membuat persembahan di majlis korporat dan peminat tentu teringin nak tengok persembahan dia. Apa yang kami lakukan ialah untuk mengimbau kembali kenangan bersama lagu kami.

“Kami lebih berminat menyanyikan lagu sendiri untuk konsert ini kerana semuanya orang tahu. Tiada lagu ‘cover version’ yang akan disampaikan,” katanya. Rahim pula mengakui, dia selama ini lebih terarah menjayakan persembahan korporat dan tertutup, inilah kesempatan terbaik buatnya untuk kembali bertemu peminat.

“Waktu persembahan pertama di kelab jaz itu dan di Sabah, rata-rata peminat yang hadir berusia 30-an ke atas. Paling tua berusia 50-an. Penerbit, Datuk Ziela Jalil dan pelakon, Liza Abdullah pun turut hadir menonton ketika itu.

“Harapnya peminat suka dengan gandingan ini. Kami masing-masing akan menyampaikan 10 lagu setiap seorang dan akan berduet menerusi lagu berjudul Falsafah Cinta.

“Insya-Allah dengan populariti yang masih ada, kapasiti 400 peminat ini akan dapat dipenuhi. Ia lebih menjurus kepada pengikut setia kami berdua,” katanya.

Menurut Rahim, cabaran yang dilaluinya berbeza kerana apabila menjayakan persembahan tertutup anjuran korporat, peminat yang hadir tidak perlu membayar harga tiket.

“Saya nak tengok peminat sejati yang sanggup keluarkan modal beli tiket bagi menyaksikan nyanyian saya. Sekali lagi saya berharap peminat menyukai gandingan kami dan hadir menonton.

“Ini adalah pencetus ke arah kerjasama yang lebih besar membabitkan kami berdua antaranya nak buat single bersama dan bawa konsert ini ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan beberapa lokasi lain yang sesuai.

“Boleh dikatakan kami adalah gandingan penyanyi genre pop rock bercampur blues dan soul yang boleh memikat peminat. Kami sendiri yang mereka konsep persembahan untuk konsert ini dan skripnya akan berlaku secara spontan,” katanya.

Menurut Man, peminat juga akan dihiburkan dengan persembahan Rahim terlebih dahulu dalam konsert ini.

“Tak semestinya Rahim senior, dia akan diletakkan giliran terakhir. Kami lebih sukakan konsep santai.

“Saya sendiri sudah letakkan intro persembahan Rahim bermula dengan lagu Syakilla.

“Saya dapat bayangkan penonton akan terpegun dengan apa yang ditampilkan. Sebenarnya saya sudah lama berurusan dengan pengurusan MaTiC untuk buat konsert ini.

“Mereka kemudian tetapkan tarikh dan walaupun hanya ada masa sebulan untuk buat publisiti dan promosi, saya tetap bersetuju. Bezanya dengan artis lain yang pernah beraksi di MaTiC sebelum ini ialah, kami tiada ‘fan base’ seperti mereka,” katanya.

Mereka bagaimanapun tidak menganggap itu masalah dan akan mencuba sehabis baik untuk konsert ini.

“Siapa nak tengok persembahan kami, boleh datang. Kami bukan aktif di Instagram dan Facebook seperti artis lain. Setakat ini tiket sudah mula dijual, tapi sama ada peminat penuh atau sebaliknya, konsert tetap akan berjalan. Kami adalah penghibur dan takkan itu sebagai masalah,” katanya.

MANBAI dan Rahim jadikan kerjasama ini sebagai pencetus untuk hasil single bersama akan datang. FOTO Mahzir Mat Isa
MANBAI dan Rahim jadikan kerjasama ini sebagai pencetus untuk hasil single bersama akan datang. FOTO Mahzir Mat Isa

Giat buat latihan

Berbaki hanya empat hari, Rahim dan Man Bai kini giat menjalani latihan bersama barisan pemuzik pengiring mereka iaitu Datuk Acis (piano dan keyboard), Eddie Slam (keyboards), Rozhan (bass), Sotong (dram), Along Exists (gitar utama), Tam Cobain (gitar kedua), Mohar (flute) dan penampilan istimewa pemain gitar Search, Kid yang juga bekas anggota Gersang.

“Latihan di studio bermula 2 April hingga 4 April (Khamis). Jumaat ini kami akan memulakan sesi latihan di MaTiC. Penampilan Kid adalah untuk lagu Masih Aku Terasa sekali gus mengembalikan kenangan bersama Gersang dulu. Kami ada cara sendiri untuk jaga kesihatan.

“Rahim mungkin ada cara sendiri, manakala saya pula aktif mengikuti aktiviti zumba. Memang bagus kerana dalam masa satu jam saya dapat mengeluarkan peluh. Selain itu, saya juga berjoging sebagai cara untuk dapatkan stamina,” katanya.

Konsert anjuran LollipopLiving dengan kerjasama MaTiC dan Mewah Event sebagai penyelaras publisiti media ini mengenakan tiket berharga RM205 yang boleh didapati secara online di www.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:00 AM