Faizal Nizam Md Nor (kiri) memantau dan memeriksa sistem perparitan berdekatan surau di Kampung Berop, dekat sini, tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Faizal Nizam Md Nor (kiri) memantau dan memeriksa sistem perparitan berdekatan surau di Kampung Berop, dekat sini, tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


MAJLIS Daerah Tanjung Malim (MDTM) melantik kontraktor pembersihan dan penyelenggaraan longkang selepas mengenal pasti punca berlaku banjir kilat di sekitar Kampung Berop, Tanjung Malim, malam tadi.

Yang Dipertuanya Faizal Nizam Md Nor berkata, tindakan segera itu dibuat selepas mendapati longkang di sebelah surau kampung itu tersumbat dan perlu diselenggara serta dinaik taraf bagi memastikan aliran air lancar.

Katanya, anak sungai yang terdapat di tepi Kampung Berop berhampiran Taman Sri Tanjung didapati dipenuhi semak-samun perlu dibersihkan supaya air mudah mengalir ke Sungai Bernam.

"Manakala di Taman Sentosa pula didapati kawasan parit dipenuhi semak-samun dan cetek selain tebingnya juga sudah runtuh, mungkin disebabkan hakisan air.

"Longkang berbentuk V yang terdapat di Kampung Berop, Jalan Ketoyong dan Jalan Jejantas Tanjung Malim juga tersumbat yang turut menyumbang kejadian banjir kilat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekitar Kampung Berop yang dilanda banjir kilat, hari ini.

Menurutnya, pintu air yang masih dalam pembinaan antara Sungai Berop dan Sungai Bernam terpaksa diberhentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan juga dikenal pasti menjadi punca.

Katanya, pihaknya akan menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kebenaran memulakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan sistem perparitan.

"Saya bersimpati dengan penduduk yang terbabit dalam kejadian banjir kilat semalam dan meminta mereka bersabar kerana kita akan melakukan tindakan segera bagi menangani masalah ini," katanya.

Terdahulu, kira-kira 12 rumah di Kampung Berop, Tanjung Malim dimasuki air dalam kejadian banjir kilat pada 9 malam semalam.

Dalam kejadian itu, ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan barang dan peralatan eletrik di dalam rumah kerana air naik secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 5:07 PM