PELAJAR Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Senawang, yang berada di asrama terus tenang menghafal al-Quran walaupun mereka dikejutkan dengan kes positif Covid-19. FOTO IHSAN STIAS
PELAJAR Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Senawang, yang berada di asrama terus tenang menghafal al-Quran walaupun mereka dikejutkan dengan kes positif Covid-19. FOTO IHSAN STIAS
Mohd Amin Jalil

Seremban: "Pada peringkat awalnya, saya amat terkesan dengan Covid-19 yang melanda sekolah ini. Namun saya berusaha bertenang dan meneruskan hafalan Al-Quran seperti biasa," ujar Akmal Izzudin Norazuddin Mirza, 17, yang juga pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS), Senawang, di sini.

STIAS yang beroperasi di Senawang Industrial Park di sini, terpaksa ditutup selama 14 hari mulai 21 Oktober lalu, selepas terdapat pelajar di sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19.

Walaupun sedang dalam tempoh kuarantin kendiri di asrama, namun sebahagian pelajar sekolah itu tetap tenang meneruskan aktiviti harian membaca dan menghafaz al-Quran.

Akmal Izzudin berkata, wabak ini bukan penghalang untuk mereka mencapai cita-cita bergelar penghafaz al-Quran.

"Kami tetap meneruskan aktiviti seperti biasa membaca dan menghafaz al-Quran dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Kami juga mengamalkan bacaan zikir khusus seperti diajar guru. Semoga amalan ini dapat mengurangkan beban kami.

"Bagi pihak rakan lain, saya berterima kasih kepada guru dan pihak pengurusan yang bertungkus lumus menjaga kami serta memantau keadaan kami. Saya berdoa kepada Allah SWT supaya memakbulkan doa kami sepanjang tempoh kami diuji," katanya tadi.

Rakannya, Muhammad Aiman Qayyum Shamsul Murfiz, 17, berkata, dia terkejut apabila pelajar sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun dia sentiasa berdoa dirinya dan mereka yang positif wabak itu pulih seperti sediakala.

"Siapapun akan rasa terkejut dan bimbang jika didapati positif Covid-19, namun kita harus berserah kepada Allah SWT bagi memohon pertolongan. Saya mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia supaya kami semua dalam keadaan selamat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Ustaz Abdullah Abdol Razak berkata, sistem pengajian di sekolah itu adalah akademik hafalan hadis dan al-Quran.

Beliau berkata, dalam keadaan mereka dikuarantin ketika ini, pelajar sudah tentu tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian kelas akademik biasa.

"Jadi, mereka mengggunakan peluang itu untuk memberikan tumpuan kepada membaca dan menghafal ayat suci al-Quran. Jika sebelum ini masa menghafal hanya sekitar enam jam tetapi ketika kuarantin ini, mereka dapat ambil masa sehingga 12 jam sehari.

"Mereka yang berada di wad juga menggunakan peluang itu untuk meneruskan rutin harian membaca dan menghafal al-Quran," katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memberikan galakan kepada pelajar sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran berbanding dengan telefon bimbit.

"Pendekatan yang kita tekankan selama ini membolehkan setiap pelajar tidak lupa kepada al-Quran, apatah lagi ketika berdepan dengan Covid-19 ini.

"Saya mendoakan agar semua warga STIAS dalam keadaan selamat dan pulih seperti sedia kala daripada Covid-19," katanya.

Terdahulu, pada peringkat awal dilaporkan seramai 33 pelajar sekolah itu disahkan positif Covid-19, namun semalam terdapat tambahan 26 lagi membabitkan 18 pelajar dan lapan kakitangan turut sama disahkan positif wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 4:47 PM