INISIATIF OUM dengan Jabatan Penjara beri peluang kepada banduan untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.
INISIATIF OUM dengan Jabatan Penjara beri peluang kepada banduan untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kajang: Dipisahkan dunia luar oleh tembok penjara setinggi 10 meter dan jeriji keluli. Namun semua itu bukan halangan buat seorang banduan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) ketika masih menjalani hukuman di penjara.

Banduan dikenali sebagai Musa, 37, berkata, dia tercicir pelajaran apabila berhenti sekolah ketika berada di tingkatan 1 berikutan keluarganya mengalami masalah kewangan.

"Saya terdetik belajar semula apabila ada banduan memaklumkan mahu menduduki peperiksaan bagi pelajaran diambil di peringkat ijazah sarjana muda dalam penjara memandangkan dia sedang menjalani hukuman pada 2003.

"Ketika itu, saya berfikir alangkah baiknya jika ada peluang dan ruang untuk saya sambung belajar walaupun berada dalam penjara kerana sebelum ini saya tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan kewangan keluarga.

"Rentetan itu, saya menyuarakan hasrat menyambung belajar dengan dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam penjara dengan beberapa banduan lain selepas ada inisiatif diperkenal pada 2005," katanya ketika ditemui di Penjara Kajang di sini.

Berbekalkan keputusan enam subjek lulus dan dua subjek gagal dalam SPM, Musa berkata, dia meminta bantuan keluarga angkatnya untuk mendapatkan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menanggung kos termasuk pemberian buku bagi melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2007.

"Dengan inisiatif Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara, saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang jurusan pentadbiran perniagaan pada 2009.

"Selepas tamat pengajian pada 2014, OUM tawarkan biasiswa percuma kecuali yuran pendaftaran untuk saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan sama sebelum menamatkan pengajian pada 2017," katanya yang sedang menjalani pengajian di peringkat PhD dalam jurusan sama dengan OUM.

Katanya, meskipun persekitaran pembelajaran dialami berbeza berbanding di luar tirai besi, dia bersyukur diberi peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

"Saya selalu terapkan dalam diri tiada perkara mudah dalam dunia ini. Begitu dengan proses pembelajaran dalam penjara.

"Namun semua perkara ini saya anggap pendorong untuk saya lebih bersemangat untuk menamatkan pelajaran kerana saya tidak sempat merasakannya (belajar di sekolah) sebelum ini. Sekiranya diberi peluang bebas, saya mahu berkhidmat semula kepada masyarakat dengan membantu komuniti peniaga.

"Namun jika saya tidak dibebaskan sepanjang hayat, saya tetap mahu berkhidmat kepada masyarakat dengan menjadi tenaga pengajar banduan di penjara," katanya yang berasal dari Sabah.

Mengikut rekod, dia didapati bersalah selepas membunuh majikan di sebuah rumah di Selangor ketika berusia 14 tahun. Susulan itu, dia dikategorikan sebagai banduan tahanan limpah iaitu banduan sepatutnya layak dijatuhkan hukuman mati namun disebabkan ketika kejadian masih di bawah usia 18 tahun, individu ini secara undang-undang tidak layak dihukum gantung.

Seorang tahanan limpah atas kesalahan berat dilakukan akan dihukum penjara tanpa tarikh bebas dengan tempoh hukuman ditentukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau yang Yang Dipertua Negeri di mana berlakunya jenayah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 12:00 PM