DR P Ramasamy. FOTO Arkib NSTP.
DR P Ramasamy. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy membayar RM1.52 juta kerana memfitnah pendakwah dari India, Dr Zakir Naik dalam tempoh 30 hari.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas mendapati Dr Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.

Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Dr Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu terbabit.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hayatul Akmal berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Dr Zakir.

Menurutnya, kenyataan berbaur dendam dengan niat jahat ini berlaku lebih tiga tahun, iaitu bermula 10 April 2016 hingga 8 November 2019.

"Hujahan pembelaan Ramasamy tidak boleh dipertahankan kerana tiada bukti kukuh untuk mewajarkan kenyataan fitnah itu.

"Mahkamah mendapati plaintif berjaya memenuhi elemen sama ada pernyataan yang disangkal bersifat fitnah, merujuk kepadanya dan diterbitkan kepada pihak ketiga," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di Nigeria untuk program ceramah sehingga 5 November.

Justeru itu katanya, Dr Zakir menghadiri prosiding ini secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Selain Akberdin, Dr Zakir turut diwakili peguam, Datuk Sulaiman Abdullah, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie, Mohd Reza Mohd Rafie dan Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Sementara Ramasamy yang memakai kot hitam hadir dengan diwakili peguam, Datuk Murali Navaratnam, Razlan Hadri, Navpreet Singh dan Felix Lim.

Ketika ditemui di luar mahkamah, bekas pemimpin politik DAP itu berkata, pihak peguamnya akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.

"Saya tidak gembira, fakta merujuk kepada satu perkara sahaja, namun sama ada kenyataan itu fitnah atau tidak, ia suatu isu lain.

"Mahkamah memutuskan bahawa lima kenyataan saya ialah memfitnah, mungkin saya tidak bersetuju dengan perkara itu," katanya.

Pada Oktober dan Disember 2019, Dr Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya 'syaitan' dalam laman Facebook.

Dr Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi sebagaimana yang didakwanya pelarian dari India.

Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:18 PM