P Ramasamy. FOTO Arkib NSTP
P Ramasamy. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sudah membayar ganti rugi RM1.52 juta kepada pendakwah bebas Dr Zakir Naik kerana memfitnahnya.

Bercakap kepada pemberita, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengesahkan perkara itu berkata jumlah berkenaan dimasukkan ke akaun peguam pada 17 November, susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2 November.

Pada hari berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi lebih RM1 juta kerana memfitnah Zakir dan juga supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pendakwah itu selepas membenarkan dua saman yang dibawa oleh Zakir.

Sementara itu, semasa prosiding hari ini di hadapan hakim yang sama, peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Ramasamy memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik permohonan untuk menangguhkan keputusan permohonan maaf itu, sementara menunggu rayuan itu diselesaikan.

"Pihak-pihak sudah mencapai persetujuan dan kami ingin menarik balik kedua-duanya (penangguhan permohonan maaf) tanpa sebarang perintah mengenai kos," kata peguam itu.

Perkara itu turut disahkan oleh Akberdin. Bagaimanapun, Akberdin memberitahu media bahawa syarat untuk penarikan balik itu 'rahsia'.

Zakir memfailkan saman pertama terhadap Ramasamy berhubung empat kenyataan fitnah ahli politik itu pada 2016, 2017, 2019 dan 2019 yang antaranya menerusi artikel "Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?", diterbitkan oleh portal berita dalam talian.

Pendakwah bebas itu itu memfailkan saman kedua berhubung artikel lain dengan mendakwa Ramasamy telah memfitnahnya melalui ulasannya yang turut diterbitkan oleh portal berita dalam talian pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:02 PM