JEMAAH umrah sering menjadi sasaran sindiket penipuan kerana permintaan tinggi umat Islam bagi mengerjakan ibadah itu berbanding ibadah haji yang agak terhad. FOTO Arkib AFP
JEMAAH umrah sering menjadi sasaran sindiket penipuan kerana permintaan tinggi umat Islam bagi mengerjakan ibadah itu berbanding ibadah haji yang agak terhad. FOTO Arkib AFP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Golongan berpendapatan rendah (B40) serta individu yang baru sahaja bersara antara yang tertinggi menjadi mangsa penipuan pakej haji dan umrah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan diterima didapati punca utama ia berlaku berikutan ramai terpedaya dengan pakej umrah pada harga tidak masuk akal.

"Punca utama dikenal pasti adalah kelemahan dan keghairahan mangsa sendiri apabila mudah diperdaya dengan pakej umrah yang murah dan harga yang tidak munasabah.

"Seperti contoh, terdapat iklan pakej umrah lengkap berharga RM4,500 walhal mustahil harga seperti itu memandangkan harga tiket kapal terbang sahaja sudah mencecah RM4,000.

"Itu tidak termasuk kos makan, penginapan, kelengkapan dan pengangkutan lagi," katanya kepada Harian Metro.

RAMLI. FOTO Arkib NSTP
RAMLI. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat untuk membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat pembelian pakej umrah antara punca perkara ini terus berlaku.

Katanya, dalam usaha membanteras aktiviti penipuan itu, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam menyalurkan maklumat berkaitan salah laku syarikat atau ejen umrah yang melanggar peraturan kepada orang ramai.

"Polis juga bekerjasama dengan beberapa persatuan industri pelancongan yang bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyampaikan maklumat berkaitan penipuan.

"Selain itu, hebahan melalui media massa dan platform atas talian berkenaan kepentingan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa pakej umrah atau haji juga dijalankan," katanya.

SEBAHAGIAN daripada jemaah umrah dari utara terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa tahun lalu akibat agensi yang mengendalikan pakej umrah gagal dihubungi. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN daripada jemaah umrah dari utara terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa tahun lalu akibat agensi yang mengendalikan pakej umrah gagal dihubungi. FOTO Arkib NSTP

Ramli berkata, antara modus operandi yang sering dikesan antaranya syarikat terbabit akan menggunakan wang pembayaran daripada satu kumpulan jemaah untuk membiayai kumpulan terdahulu sehingga terjadi snowball effect.

Selain itu, ada juga suspek yang menggunakan gambar ustaz dan ustazah selebriti atau ikon terkenal bagi mempromosikan pakej umrah jauh lebih murah terutama di platform media sosial.

"Jumlah kerugian tertinggi yang dicatatkan setakat ini ialah sebanyak RM161,880 berkait satu laporan polis yang diterima di Negeri Sembilan.

"Mangsa membuat laporan polis dengan mewakili seramai 29 orang mangsa yang ditipu dalam pakej umrah.

"Jumlah kerugian keseluruhan tahun ini (Januari hingga Ogos) membabitkan kes penipuan pakej umrah dan haji adalah RM1.35 juta," katanya.

Pancing mangsa tunai umrah guna kaedah MLM

Tunai umrah guna kaedah multilevel marketing (MLM) antara taktik digunakan individu tidak bertanggungjawab bagi memancing mangsa dengan harga yang kononnya jauh lebih murah berbanding syarikat pengendali berlesen.

Difahamkan, individu itu turut merekrut dan melatih ejen bagi mencari mangsa yang berminat mengerjakan umrah menerusi tawaran pakej umrah berkonsepkan 'DIY'.

Namun lain pula jadinya apabila niat untuk berjimat bertukar tragedi apabila ramai menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab terbabit yang tergamak menggunakan agama demi mengaut keuntungan.

Selain itu, ada juga selebriti yang dijadikan poster boy oleh segelintir syarikat tidak bertanggungjawab bagi meyakinkan orang ramai membeli pelbagai pakej umrah ditawarkan.

Taktik lain digunakan termasuk menawarkan pakej umrah pada harga yang tak masuk akal malah di bawah harga saranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) iaitu RM7,890.

Ramai mangsa terutama dari golongan berpendapatan rendah termakan umpan syarikat terbabit yang menawarkan pakej umrah bermula RM5,000, malah turut menawarkan diskaun tambahan.

Lebih parah apabila ada sesetengah syarikat berlesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar di bawah Tabung Haji (TH) turut menipu bakal jemaah dengan pelbagai janji manis yang akhirnya tidak mampu ditunaikan.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Motac Roslan Mohamad yang menganggarkan sekitar 800 hingga 1,000 jemaah diterbangkan ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah setiap hari.

ROSLAN. FOTO Ihsan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)
ROSLAN. FOTO Ihsan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)

Menurutnya, jemaah umrah sering menjadi sasaran kerana permintaan tinggi umat Islam bagi mengerjakan ibadah itu berbanding ibadah haji yang agak terhad.

"Dianggarkan lebih 300,000 umat Islam mengerjakan umrah setiap tahun dan jika jumlah (jemaah) itu dikira berdasarkan harga cadangan (RM7,890) seorang seperti disarankan kementerian, ia bernilai lebih RM2.7 bilion.

"Ia antara industri besar dan antara peyumbang terbesar kepada pendapatan. Apabila saiz sudah sebesar itu maka ia menarik minat ramai pihak yang akhirnya berlaku banyak penipuan demi mengaut keuntungan.

"Ini kerana permintaan (pelanggan) itu memang sudah sedia ada, umat Islam ini mahu buat umrah kerana nak pergi haji ada kuota tetapi umrah sesiapa saja boleh pergi," katanya pada sesi temubual eksklusif bersama Harian Metro baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya terima 189 aduan berhubung kes penipuan pakej umrah setakat September lalu yang mana jumlah itu hampir tiga kali ganda dari jumlah aduan pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan aduan sebanyak 115 peratus dicatatkan berbanding hanya 74 aduan yang diterima bagi tempoh sama tahun lalu.

"Keseluruhan jumlah kerugian berdasarkan aduan yang diterima adalah kira-kira RM10 juta membabitkan mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat dan penggunaan beberapa modus operandi.

"Pelbagai alasan diberikan termasuk kenaikan kos penginapan dan pengangkutan di Arab Saudi tetapi apabila kami minta syarikat kemukakan bukti (tempahan, emel, dokumen berkaitan) tidak pernah mereka berikan.

"Tidak mungkin satu industri (perhotelan) antarabangsa tiada surat menyurat jadi saya percaya mereka (syarikat) buat perjanjian dengan pihak ketiga untuk dapatkan penginapan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral dilakukan syarikat dan individu-individu terbabit.

"Sebanyak 235 individu dan syarikat disenarai di bawah pemerhatian kerana melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dan senarai ini boleh dirujuk di laman web Motac (www.motac.gov.my/semakan) untuk panduan orang ramai ketika berurusan.

"Kerajaan juga sudah menubuhkan Majlis Kawal Selia Umrah (MSKU) bagi menangani kes penipuan umrah yang berleluasa," katanya.

Beberapa pengelola ada dalam watchlist

Bakal jemaah haji dan umrah dinasihatkan supaya membuat semakan senarai watchlist atau pemerhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan syarikat tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Motac Roslan Mohamad berkata, keseluruhannya 235 syarikat dan individu disenaraikan sebagai rujukan orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan pihak yang tersenarai berkenaan.

"Senarai watchlist ini adalah sebagai amaran kepada individu atau syarikat tidak berlesen dan sebagai peringatan kepada orang awam supaya berhati-hati semasa membuat pembelian pakej pelancongan termasuk pakej umrah.

"Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 604 pengusaha pelancongan mempunyai lesen bidang umrah di seluruh negara," katanya pada sesi temubual eksklusif bersama Harian Metro baru-baru ini.

Menurutnya, dalam usaha membanteras penipuan pakej umrah yang kian berleluasa pihaknya bekerjasama tiga persatuan iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (Papuh).

Katanya, Motac turut menguatkuasakan Garis Panduan Permohonan Iklan Umrah Atau Ziarah sejak 1 Februari tahun lalu dalam usaha mengawal maklumat berkaitan umrah dan mengelak pakej mengelirukan serta meragukan daripada diiklankan.

SEBAHAGIAN bakal jemaah untuk menunaikan ibadat umrah membuat laporan polis apabila mereka mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan pada April lalu. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN bakal jemaah untuk menunaikan ibadat umrah membuat laporan polis apabila mereka mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan pada April lalu. FOTO Arkib NSTP

"Syarikat-syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan dalam bidang umrah ditetapkan perlu memohon permit pengiklanan pakej umrah daripada Motac.

"Pemohon-pemohon permit pengiklanan pakej umrah yang diluluskan perlu mempamerkan nombor siri permit di dalam iklan sama ada dalam format konvensional atau digital.

"Nombor siri permit akan menjadi rujukan kepada orang awam serta pasukan penguatkuasaan Motac untuk mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah," katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, 309 permohonan lesen iklan berkaitan umrah sudah diluluskan dan diberikan kelulusan.

Menurutnya, bagi mengelak ditipu pastikan setiap urusan pembayaran disertakan bersama resit rasmi yang lengkap dengan nama dan nombor pendaftaran syarikat.

"Pastikan pembayaran dibuat kepada akaun sama dengan syarikat yang mengiklankan pakej berkenaan kerana ada syarikat yang sengaja menggunakan akaun bank dengan nama sedikit berbeza dengan nama diiklankan bagi mengelirukan mangsa.

"Contohnya, mangsa berurusan dengan Syarikat ABC Travel dan Tours tetapi pembayaran dibuat ke akaun ABC Holiday jika berlaku seperti ini orang ramai dinasihatkan berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, taktik sebegini sering digunakan berdasarkan aduan diterima pihaknya setiap kali jemaah terkandas di lapangan terbang.

"Dalam keghairahan aktiviti promosi, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kelalaian masyarakat dengan menawarkan pakej umrah yang tidak relevan.

"Bakal jemaah umrah dilapor terkandas di lapangan terbang, negara transit dan kerugian ribuan ringgit," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 10:01 AM