GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai RM6,900 untuk mengerjakan ibadah umrah bagi tempoh 12 hari dan 10 malam.

MOTAC dalam kenyataan berkata, ia hasil perbincangan dengan persatuan yang mana penetapan kali terakhir ialah pada 2016 iaitu pada paras harga RM4,900.

Bagaimanapun katanya, selaras dengan perkembangan semasa, berlaku peningkatan kos berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pihak Arab Saudi dan Malaysia.

"Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos ialah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.

"Harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Kenyataan itu berkata, harga itu adalah panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah, manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.

Justeru katanya, bakal jemaah boleh mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan pakej umrah.

"Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi kementerian bagi mengenal pasti syarikat yang dilesenkan.

"MOTAC turut mengucapkan selamat mengerjakan ibadah umrah kepada Keluarga Malaysia yang bertuah dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, inisiatif MOTAC untuk menangani kes penipuan pakej umrah adalah mewajibkan syarikat yang dilesenkan untuk memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Oleh itu katanya, kementerian sudah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) untuk membantu MOTAC merangka dan memperhalusi isu pengiklanan umrah ini.

"Berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, persatuan berkenaan memahami dan menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

"Sehingga kini, kementerian juga sudah menerima sebanyak 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosi.

"Ini bertujuan untuk membantu kementerian mengenalpasti iklan haram pakej umrah," katanya yang turut memaklumkan ketika ini terdapat sebanyak 444 syarikat pengendali umrah berlesan di bawah MOTAC.

Katanya, borang permohonan iklan itu boleh di muat turun dari laman web rasmi kementerian di www.motac.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 12:47 PM