Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian jangka panjang dengan pengendali perkhidmatan asas bagi menangani kos kenaikan menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, TH turut mengamalkan perbelanjaan secara berhemah di samping usaha strategi memeterai perjanjian itu.

"Sebagai langkah strategik menangani kenaikan kos haji berterusan, TH memeterai perjanjian jangka panjang bagi beberapa perkhidmatan asas termasuk penerbangan carter haji, penyewaan bangunan penginapan di Makkah dan Madinah dan sajian makan jemaah haji untuk mengikat harga dikenakan.

"TH akan terus mengamalkan perbelanjaan secara berhemah demi menjaga kebajikan semua jemaah haji Malaysia dengan kos operasi yang wajar," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai strategi kerajaan bagi menangani kos kenaikan haji dan umrah yang melonjak sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan kos haji sehingga RM31,000 bagi setiap jemaah haji Muassasah berbanding RM28,632 seorang pada tahun lalu itu tidak dapat dielakkan akibat faktor di luar kawalan TH termasuk kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika, kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi.

MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Saddam Yusoff
MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak. FOTO Saddam Yusoff

"Selain itu, projek pembesaran berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan serta caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Nai'im berkata, isu membabitkan umrah adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), namun faktor kenaikan di luar kawalan kementerian itu.

"Buat masa ini kerajaan mengambil maklum atas peningkatan kos umrah berikutan permintaan tinggi dari jemaah seluruh dunia yang turut membabitkan kos penginapan, logistik, tiket penerbangan dan lain-lain. Perkara ini di luar bidang kuasa Motac.

"Bagaimanapun, Motac sentiasa mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti kebenaran isu yang dibangkitkan dan berharap dapat membantu mengatasi isu ini," katanya.

Mengulas soalan celahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai status dan tindakan berkaitan isu penipuan visa haji, beliau berkata, kes berkenaan dalam prosiding mahkamah untuk pendakwaan terhadap syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:52 PM