REMAJA yang terdedah dengan rokok dan rokok elektronik atau vape sukar menghentikan tabiat ekoran ketagihan boleh berlaku dalam tempoh singkat.
REMAJA yang terdedah dengan rokok dan rokok elektronik atau vape sukar menghentikan tabiat ekoran ketagihan boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) diharap diluluskan dalam sidang Parlimen demi kesejahteraan rakyat selepas kajian mendapati nikotin terkandung di dalam rokok dan rokok elektronik atau vape boleh memudaratkan kesihatan.

Malah, RUU GEG turut disokong beberapa pakar perubatan yang berharap pembentangannya di Parlimen mendapat kelulusan Ahli Parlimen seterusnya dilaksanakan demi kesihatan rakyat.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitharan berkata, nikotin boleh merosakkan otak, merosakkan saluran darah dan menyebabkan pengguna akan ketagih seperti heroin dan kokain.

Menurutnya, apabila remaja mula terdedah dan menjadi penghisap rokok atau vape mereka susah hentikan tabit kerana ketagihan boleh berlaku dalam tempoh 72 jam sahaja.

"Penggunaan nikotin menunjukkan transformasi sel dan ia mengambil masa dalam 18 ke 20 tahun untuk terkena kanser.

"Masalah vape ini kita nampak ciri-ciri menunjukkan transformasi sel iaitu dari sel normal ke sel abnormal iaitu peringkat pertama dan kedua untuk menjadi kanser," katanya ketika ditemui pada Program Advokasi dan Intervensi Ketagihan Nikotin Dalam Kalangan Remaja dan Generasi Penamat Rokok (GEG) di Putrajaya, di sini.

DR Murallitharan.
DR Murallitharan.

Dr M Murallitharan berkata, proses itu dipanggil metaplasia iaitu sebagai contoh sel badan berbentuk segi empat bertukar menjadi segi tiga bermakna sudah bermutasi dan belum menjadi kanser namun peringkat satu serta dua ke arah mendapat kanser.

"Masalah berkaitan paru-paru, salur pemakanan rosak, perut dan tekak kita sudah nampak dan ada datanya disebabkan rokok.

"Sebab itu GEG ini kita nak didik dari kecil tidak diberi pendedahan dengan rokok atau vape....jadi sehingga ke dewasa mereka tidak gunakannya (merokok)," katanya.

Beliau berkata, generasi sebelum ini terdedah kepada rokok ketika belasan tahun atau menginjak 20-an dan mereka mula terkena kanser sekitar usia 40 ke 50 tahun tetapi generasi sekarang terdedah ketika usia sembilan tahun sebab itu menginjak ke 20 hingga 30 tahun sudah mendapat kanser.

Dr Mohd Afiq Mohd Nor.
Dr Mohd Afiq Mohd Nor.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, melalui kajian dijalankan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) pada 2021 ke atas 60 pesakit yang menghisap vape mendapati tiga pesakit dikesan mendapat penyakit paru-paru berkaitan dengan produk rokok elektronik atau EVALI.

"EVALI jika dihidapi akan mengakibatkan paru-paru rosak akibat bahan kimia disedut malah bahan alam vape itu juga boleh menyebabkan kanser," katanya.

Dr Mohd Afiq berkata, pada 2019 kes EVALI di Amerika Syarikat mengakibatkan 60 kematian dan 2,000 dimasukkan ke hospital.

"Jadi saya harap RUU GEG kali ini tidak ada penangguhan lagi kerana ia sudah melalui proses sepatutnya," katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tengkawang, Dr Suhazeli Abdullah berkata, beliau berharap RUU GEG lulus kerana statistik menunjukkan remaja menghisap rokok semakin meningkat.

Dr Suhazeli Abdullah.
Dr Suhazeli Abdullah.

"Akta itu nanti mampu atasi masalah rokok di negara ini di mana New Zealand sudah laksanakan sementara United Kingdom baru hendak melaksanakannya.

"Mereka yang merokok dan menghisap vape ini undang risiko kesan kesihatan seperti jantung, darah tinggi dan penyakit kronik lain di mana jika dilihat unjuran sebelum ini kerajaan berbelanja RM4 bilion ke RM6 bilon untuk merawat pesakit akibat komplikasi dari merokok.

"Jika RUU GEG ini diluluskan kerajaan mampu jimatkan perbelanjaan rawatan dan kurangkannya dalam tempoh 10 ke 15 tahun nanti," katanya.

Kongsi dengan 3 rakan sekolah untuk beli vape

"Saya ambil vape (rokok elektronik) ini bagi menghilangkan tekanan kerana belajar dan kerja sekolah banyak dan apabila menghisapnya berasa lega dan tenang," itu kata remaja lelaki dikenali Angah berusia 14 tahun.

Angah berkata, dia mula terjebak menghisap vape ketika berusia 12 tahun bersama rakan dan terpengaruh sehingga sukar berhenti.

"Mula-mula waktu mencuba itu memang ada rasa pening-pening namun lama kelamaan sudah terbiasa.

"Saya ambil nak hilangkan stress (tekanan) dan kami berkongsi tiga orang untuk membelinya dan bergilir-gilir menyimpannya," katanya ketika ditemui pada Program Advokasi dan Intervensi Ketagihan Nikotin Dalam Kalangan Remaja dan Generasi Penamat Rokok (GEG) di Putrajaya, di sini.

Menurutnya, dia akan berkongsi dengan rakan untuk membeli vape itu dan kebiasaan akan membelinya di kedai runcit berhampiran rumah di Salak Tinggi.

"Duit saku sekolah diberi RM5 dikumpul untuk beli vape dan dua kali cikgu menangkap saya menghisapnya di sekolah dan terbaru saya digantung sekolah.

"Selepas ini saya berharap akan dapat berhenti demi mak," katanya.

Sementara itu, adiknya berusia 11 tahun turut terjebak dan baru menghisap vape seminggu lalu.

"Saya terpengaruh dengan rakan di sekolah yang menghisap vape apabila mereka beritahu sedap.

"Jadi saya meminta dari abang untuk menghisapnya dan terjebak sehingga sekarang," katanya.

Sementara itu, ibu mereka berkata, dia tidak tahu bila sebenarnya anak keduanya terbabit menghisap vape dan menyedarinya awal tahun ini ketika mereka menghadiri hari keluarga apabila saudara saya melihat Angah mengecas alat vape.

"Selepas ditanya dia hanya mengaku kepada saya sudah menghisap vape sejak tahun lalu.

"Saya rampas dan sudah buang beberapa kali, tetapi dia beli yang baharu sehingga sanggup mencuri duit ayah dia dan duit raya adik-adik dia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 12:01 PM